Cnp,
Ikuti cebisan kisah seorang guru yang sangat tabah, tenang dan sabar menghadapi ujian anaknya yang sakit sejak selepas zaman prasekolah sehingga ke hujung nyawa. Mohon aminkan semoga beliau sekeluarga dihadiahkan dengan syurga tanpa hisab. Semoga doa tersebut kembali buat kita.
Sabtu, 17 April 2021, 6 Ramadan 1432H, jam 8.49 malam. Segalanya terasa berhenti. Dengan penuh lembut roh Muhammad Adib , 16 tahun, anak sulong kami dipisahkan dari jasadnya dihadapan saya, isteri, empat orang adiknya, nenek, wan, maklong dan maksu nya.
Doktor pakar telah memaklumkan situasi dan kondisinya seawal Februari untuk saya bersedia dengan pelbagai kemungkinan.
Aturan Ilahi tentang kematian kerap menyentap, mengejutkan lena, memancung cita-cita, namun punya rahsia tersembunyi, yang mungkin tidak terbongkar sampai bila-bila.
Kesihatannya semakin merosot selepas major operation Jangkitan di dalam perut yang membataskan pergerakan dirinya pada 20 September 2020 yang mengambil masa sehingga 10 jam di dewan bedah HTAA. Selepas pembedahan dia ditolak masuk ke PICU 6B HTAA dengan bantuan alat pernafasan. Ketika itu saya menemannya dari awal hingga selesai pembedahan. Doktor Prakash yang mengetuai pembedahan berjumpa dengan saya dua kali ketika pembedahan sedang berlaku. Saya menangis di atas kerusi di hadapan lif tingkat 3. Ya Allah Kau permudahkan urusan anakku Muhammad Adib. Alhamdulillah beliau survive ketika itu.
Selepas pembedahan tersebut, kesihatan beliau merundum. Tapi semangat beliau tinggi. Dalam keterbatasannya tetap mengukir senyuman. Doktor Nik dari HUSM Kubang Krian meminta untuk makan ubat selama 12 bulan. Kesan yang paling ketara ialah perutnya memulas dan tidak selesa.
Akhir November 2020, beliau menyatakan hasrat nak ke Cameron Highland untuk makan nasi lemak strawberry. Kami bertolak selepas beliau HD pada Sabtu 21 November 2020. Sepanjang jalan beliau banyak tertidur. Keletihan selepas daripada HD. Kami menginap di Brincang. Pada malam tu kami makan steamboat. Seawal pagi Ahad kami dah sampai di Abang Strawberry Taman Sedia. Dia order dan makan sepuasnya. Selepas itu kami ke The Sheep Sanctuary Kea Farm. Oleh kerana jalan nya menurun bukit saya mendukung nya ke bawah. Tangannya yang kecil memeluk leher saya. Saya termengah mengah. Dia berbisik ke telinga saya “ Ayah, terima kasih bawa dan dukung Along. Semoga Allah balas jasa ayah”.
Ketika berjumpa dengan Doktor Pakar pada Disember 2020, getaran pada fistulanya agak lemah. Ada benjolan pada tangannya. Doktor nasihat berjumpa dengan doktor pakar untuk buat Fistulogram pada awal Februari 2021. Saya memandangnya. Dia anggukkan kepala tanda persetujuan.
Suboh, 15 Januari 2021 selepas ke Masjid saya masuk ke bilik untuk membaca whastapp di telefon. Saya lihat dia sedang baca Al-Quran di ruang tamu hadapan. Tiba-tiba dia menjerit. Ayah! Ayah!. Sakit sangat ni ayah. Saya berlari ke hadapan. Lihat dia memegang tangannya yang disengat tebuan. Saya memangku kepalanya. Menyuruh Ma nya mengambil air. Saya membaca bismillah tujuh. Terus saya call Dr Nadiah. Kemudian bergegas ke HTAA untuk di pantau oleh Doktor. Semalaman di wad beliau dibenarkan balik keesokkannya. Abrar anak kedua yang menjaga abangnya di wad masa itu.
Bermula awal Februari 2021 hingga 31 Mac 2021 kerap dia memasuki wad 6C dan PICU 6B HTAA. Fistulogram untuk membetulkan Fistulanya tidak berjaya. Buat PermCath di dada. Hanya bertahan 5 minggu sahaja. Kemudian fungsi jantungnya merosot. Tinggal 15% sahaja. Kemudian Doktor cuba pasang Femoral di Peha. Sempat bertahan 3 hari sahaja lagi kerana kaki jadi bengkak. Setelah tiada usaha yang boleh di buat lagi kami keluar dari PICU 6B pada 31 Mac 2021.
Kira-kira 40 hari sebelum kematiannya. Selepas maghrib saya naik ke wad PICU 6B. Dia cakap. “Ayah, mata Adib boleh nampak semua. Tiada tembok ni. Adib boleh nampak semua.” Saya terkejut. Sebab di PICU ianya ada bilik-bilik kecil. Saya test dia. Berapa orang Nurse yang ada di sana (Sebelah kanannya). Dia jawab dua orang. Kemudian saya tanya lagi di Kaunter ada berapa orang? Dia jawab tiga. Saya terus duduk dan tenung dia. Kemudia dia cakap masa ayah turun solat tadi. Adik Arasy (Arwah) ada datang melawat Adib. Dia tanya Abang Adib main game apa tu?
Seminggu sebelum kematiannya saya lihat dari sisi pipi dan hidung nya jatuh. Cuma dalam hati kecil saya kata, bukan ni….bukan.
Jumaat, 16 April 2021, selepas solat jumaat. Saya duduk di sebelah katilnya. “Ayah nak baca Yaasin ni dan Ar’rad ni. Along ikut ayah baca ya!” Dia angguk dan kata ya. Saya meneruskan bacaan sehingga selesai dan secara tiba-tiba air mata mengalir tanpa henti. Dia pegang tangan saya. “Ayah janganlah nangis….Along kuat lagi ni…Along taknak mati lagi….Along nak tengok Aysar besar dulu”.Katanya memujuk hati saya. Detik hati saya berlainan. Saya pesan padanya. Dalam hidup kita kena redho segala yang Allah swt telah tentukan.Kalau kita sabar Allah swt akan bagi ganjaran Syurga di akhirat nanti. Nanti Along tolong cari ayah dengan Ma dalam syurga ya. Sambil saya mengesat air mata dan memeluknya. Dia hanya cakap Along dah redho semuanya.
Malam tu Nenek menjaganya. Pukul 3.15 pagi Sabtu, saya menjaganya pula. Dia mengadu sakit. Sakit ayah. Saya tanya, boleh ayah bagi ubat tahan sakit? Dia anggukkan kepala. Saya bagi dos 2.5ml dan dia rasa lega dan tertidur sekejap. Sahur pagi sabtu tu saya hanya minum air masak dan sebiji tamar. Selepas solat suboh saya nyatakan, “Boleh ayah balik Paya Bungor kejap pagi ni? Ayah nak mesin rumput” Dia anggukkan kepalanya.
Balik dari Paya Bungor terus saya duduk di sebelahnya. Memegang tangannya kiri dan kanan. Kemudian membaca Al-Quran juz yang ke lima. Dalam 11:30 pagi Abrar (Adiknya) telefon. Minta bawakan baju melayu kurtanya. Saya janji akan hantar pada hari Ahad. Saya hulurkan HP kepadanya tetapi dia gelengkan kepala. Dia taknak bercakap. Biasanya dia akan tanya, Abrar makan apa lah kat asrama ni. Macam manalah Abrar duduk kat asrama. Boleh ke dia? Dia selalu risaukan adik dia pertama kali tinggal di asrama.
Selepas solat zohor hari Sabtu, 17 April 2021, saya bersiap untuk membeli Lauk di Kedai Haji Husin Gambang. Saya tanya dia nak makan apa? Dia jawab Adib tak selera hari ini ayah. Saya rasa macam tak sedap hati. Lantas saya whatsapp Imam Amin untuk dia ambil tugas Imam Tarawih malam tersebut.
Sekembali daripada Gambang, saya masuk ke biliknya. Nenek dan Ma nya sedang urut belakang badan. Saya tanya “ Along nak perlukan mesin oksigen tak?” Dia jawab, boleh lah ayah…..Saya terus hubungi Farmasi Alpro Taman Tas…..Tiada stok…Stok hanya ada di Sungai Isap….Terus saya pecut ke sana. Sewa bulanan RM320 dan deposit RM800. Bayar terus balik.
Sampai di Gambang, saya check SPO2 dan Pulse Ratenya menggunakan Oximeter. SPO2 nya 83. Selepas pasang mesin oksigen SPO2 jadi 97 dan pulse ratenya 101. Saya Whatsapp kepada Dr Nadiah memaklumkan kondisi terkini Adib. Dr Nadiah tanya “ Harini ayah ada kat rumah? Saya ingat nak pergi malam ni boleh ke ayah?” Saya jawab ada dan terus send location serta alamat rumah.
Lebih kurang jam 6 petang Wan, Maklong dan Maksu dari Karak sampai. Rancangan asalnya nak berbuka di Gambang. Adib nak makan pudding roti yang di masak oleh Maksunya dan Murtabak. Apabila disuakan ke mulutnya dia cakap tak selera. Kejap lagi lah.
Semasa berbuka puasa, isteri saya menemannya di bilik. Saya berbuka dan Solat Maghrib. Terus ke biliknya bertukar shift. Apabila saya duduk di sebelahnya, dia minta saya check bacaan SPO2 nya. Saya ambil alat Oximeter di atas katil. Pasang pada ibu jari tangan kanannya. Tidak boleh di baca. Tukar ibu jari tangan kiri pun sama. Saya tukar ke ibu jari kakinya. Pun sama tak boleh baca. Saya check pada ibu jari tangan saya. Boleh baca….Kebetulan Ahnaf anak ketiga ada di dalam bilik, saya check pada ibu jari tangan Ahnaf pun boleh di baca. Dia pandang saya. Matanya tidak berkedip. Jantung saya berdegup kencang. Macam ada sesuatu. Saya cakap ke dia. Along ikut ayah mengucap. Dia sebut dengan jelas. Saya suruh dia bertenang dan minta izin dia nak ke tandas untuk bersihkan diri.
Saya masuk semula ke biliknya lebih kurang jam 8.05 malam. Isteri saya di sebelah kanan saya di sebelah kiri. Kami talkinkannya. Nafas nya semakin perlahan. Dr Nadiah whatsapp jam 8:23 malam. Saya balas jam 8:38 malam yang mengatakan Adib dah nak pergi ni Doktor. Denyutan jantungnya semakin perlahan. Matanya kelihatan ke atas. Nafasnya semakin perlahan. Di bibirnya mengikut Kalimah Allah, Allah, Allah sehinggalah nyawanya habis di tarik Malaikat Izrail. Kami semua menangis. Sambil di bibir menyebut إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ “Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan Kembali”. Dr Nadiah sampai tepat jam 8:55 malam dan mengesahkan kematiannya.
Matanya ditutup. Tangannya memang sedia terQiam. Wajahnya senyum menawan. Seolah hilang kesakitan yang ditanggung selama ini. Ramai yang hadir pada malam tersebut dan pagi Ahad 18 April 2021. Membaca Yaasin dan Tahlil. Semua urusan dipermudahkan. Datang pertolongan tanpa di sangka-sangka. Dari awal hingga akhir. Air mata mengalir tanpa diundang.
Jenazahnya di mandi dan dikafankan dengan lembut disaksikan semua adiknya. Saya mengimamkan Solat Jenazahnya. Penuh ruangan dalam Masjid Paya Bungor. Air mata mengalir dan dada sebak ketika membacakan doa. Terbayang wajahnya dari bayi hingga remaja.
Muhammad Adib anak yang baik. Tidak pernah meninggi suara kepada Ma ayahnya. Hatinya terang. Hampir separuh dari usia kehidupannya diuji dengan kesakitan. Dia kuat. Tidak berputus asa untuk sembuh. Hampir setiap pagi dialah yang mengejut saya bangun pukul 5:00 pagi. Pernah saya terjaga pukul 3:00 pagi dan pergi ke biliknya. Lihat dia sedang berjaga. “Along buat apa ni? Tak tido lagi ker?” Dia jawab “ Along Solat Tahjud ayah.” Quran selalu dibacanya. Kegemarannya mengedit video. Dia belajar melalui youtube dan internet. Kebanyakan poster kuliah dan ceramah di Masjid Paya Bungor dialah yang membuatnya.
Sebelum dia meninggal sempat dia berpesan untuk Nurse dan doktor yang merawatnya. Hajatnya telah kami tunaikan. Termasuk sejumlah wang untuk derma berbuka puasa di Masjid.
Di sini perjalanan hidupmu terhenti. Berakhir sudah kesakitan duniawi. Tenanglah kau dalam jagaan Ilahi. Gerimis di hati. Hanya Tuhan yang lebih mengerti. Moga kita kan bertemu Kembali. Bersama nanti di negeri abadi.
Kami serahkan semula Muhammad Adib kepada Penciptanya, Allah Yang Esa. Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga kepulangannya diiringi bersama dengan sekalian malaikat. Tiba masanya, pimpinlah tangan Ma dan Ayah serta semua adikmu menuju ke syurga. Semoga di sana, kita bersama kecapi kebahagiaan untuk selamanya di dalam rahmat kasih-Nya. Semoga Muhammad Adib dikurniakan Syurga Tanpa di Hisab. Mohon doa semuanya. Amin Ya Robbalalamin.
Ayah yang sentiasa merinduimu.
- Mohd Fazlin Idris -
Kg.Paya Bungor
5 Mei 2021
No comments:
Post a Comment
Any comment? Please....