Friday 28 January 2022

Cukai Pendapatan (LHDN)

 Kepada adik-adik yang baru mula kerja ataupun yang dah naik gaji tahun 2021 ini, tahniah kami ucapkan. Jika gaji dalam setahun adalah RM34,001 ataupun agak-agak dalam RM2,833.33 sebulan (lepas tolak KWSP), kalian mesti isytiharkan pendapatan kepada LHDN.

Jika nak mengurangkan cukai, benda yang perlu diberi perhatian adalah berkenaan pelepasan cukai. Lebih banyak pelepasan kita dapat, maka makin sedikit cukai yang kena dibayar. Silap haribulan tak perlu bayar langsung.

Jika kalian masih mencari maklumat berkenaan senarai pelepasan cukai pendapatan LHDN bagi e-Filing pada tahun 2022 nanti (tahun taksiran 2021), artikel ini pastinya akan membantu.

Kita dah nak sampai pun ke penghujung tahun. Dengan masa yang berbaki ini, jom kita tengok apa yang boleh dilakukan (belanja) untuk merebut insentif cukai.

Kalau nak tahu, ianya terbahagi kepada 3 kategori seperti berikut:

Pelepasan Cukai

1. Ibu Bapa

    Peralatan Menyusu (RM1,000)

Ini untuk pembayar cukai wanita sahaja. Bagi mereka yang mempunyai anak di bawah umur 2 tahun, ianya boleh dituntut setiap 2 tahun sekali.

    SSPN (RM8,000)

Ini adalah jumlah simpanan bersih. (Tabungan bersih adalah jumlah simpanan dalam tahun 2021 TOLAK jumlah pengeluaran dalam tahun 2021).

Bermaksud jika awal tahun kita pernah depositkan RM10,000 tetapi tiba-tiba kita ada keluarkan RM7,000, maka kita hanya layak untuk menuntut pelepasan sebanyak RM3,000.

Masih belum terlambat. Jika belum buka akaun SSPN untuk anak, bukalah sekarang secara dalam talian di sspni.sspn.my. Pendeposit perlu membuat deposit minima RM20 untuk pembukaan akaun baharu.

Pelepasan cukai dapat, duit simpanan untuk anak juga ada.

    Yuran Taman Asuhan / Tadika Berdaftar (RM3,000)

Bagi mereka yang mempunyai anak di bawah umur 6 tahun dan boleh dituntut oleh salah seorang ibu bapa.

2. Pendidikan (RM7,000)

Ianya merupakan yuran pendidikan untuk diri sendiri dan terbahagi kepada dua:

    Selain daripada Master dan PHD, kursus di dalam bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, vokasional, perindustrian, saintifik atau teknologi

    Master dan PHD, semua bidang pengajian

Senarai institusi tempatan atau badan profesional di Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan atau diluluskan oleh Menteri Kewangan boleh didapati di laman rasmi Kementerian Pengajian Tinggi di www2.mqa.gov.my

3. Perbelanjaan Perubatan

Diri sendiri, pasangan dan anak-anak (RM6,000) – bagi penyakit berbahaya, kos rawatan kesuburan untuk diri sendiri atau pasangan.

Contoh:

Dalam tahun 2021, kos rawatan penyakit leukemia yang dihidapi oleh Jasmin berjumlah RM12,000. Daripada jumlah tersebut, Jasmin membayar RM8,000 dan suaminya, Hanapi membayar bakinya sebanyak RM4,000 dan resit berasingan telah dikeluarkan atas nama Jasmin dan Hanapi.

Jasmin dibenarkan potongan bagi perbelanjaan perubatan yang dibayar olehnya tetapi terhad kepada RM6,000 sementara Hanapi dibenarkan potongan sebanyak RM4,000 yang dibayar olehnya untuk rawatan penyakit serius isterinya.

Pemeriksaan kesihatan penuh (RM500)

Pemeriksaan perubatan penuh termasuk-

(a) pemeriksaan fizikal seperti pemeriksaan mata, telinga, hidung, kerongkong, leher, dada, jantung, payudara, abdomen, tangan, kaki, pemeriksaan berat badan, tekanan darah;

(b) pemeriksaan x-ray;

(c) ujian darah dan ujian urin; dan

(d) perbincangan dengan pakar perubatan yang menjalankan pemeriksaan berhubung dengan hasil pemeriksaan.

Kalau kita sekadar membuat pemeriksaan x-ray dan ujian darah (bukan full medical checkup), kita tidak layak untuk menuntut perbelanjaan tersebut.

Seeloknya setiap tahun kita perlu menjadikan pemeriksaan kesihatan penuh ini sebagai rutin, terutamanya yang sudah berumur 40 tahun ke atas.

Rawatan perubatan / penjagaan ibu bapa (RM8,000)

Ibu bapa merujuk kepada ibu bapa kandung atau ibu bapa angkat jika individu itu adalah seorang anak angkat. Jika ada dalam keluarga adik beradik kita yang telah menuntut RM8,000 maka kita tak boleh nak tuntut.

Perbelanjaan rawatan perubatan ibu bapa yang layak untuk potongan termasuk-

(a) rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan yang disediakan oleh rumah penjagaan; dan

(b) rawatan pergigian yang dihadkan kepada mencabut gigi, menampal gigi dan membersihkan karang gigi tetapi tidak termasuk rawatan kosmetik seperti menggantikan dan membaik pulih gigi yang melibatkan penyatuan, root canal dan gigi palsu.

4. Gaya Hidup

Pembelian bahan-bahan bacaan, komputer peribadi, telefon pintar / tablet, peralatan sukan, langganan Internet, keahlian gimnasium (RM2,500).

Pembelian peralatan sukan untuk mana-mana aktiviti sukan seperti yang didefinisikan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 termasuk pembelian basikal (tidak terpakai kepada jenis basikal bermotor) dan bayaran keahlian gimnasium untuk kegunaan dan manfaat diri sendiri, pasangan atau anak (tidak termasuk keahlian kelab yang menyediakan kemudahan gimnasium);

Suka kami ingatkan yang kasut sukan adalah kategori pakaian sukan, bukan peralatan sukan.

Jangan rasa kecewa sangat jika sudah terbeli kasut Nike, Adidas, Puma yang mahal-mahal tu tetapi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

TAMBAHAN gaya hidup (RM2,500) untuk pembelian komputer peribadi, telefon pintar dan tablet untuk kegunaan / manfaat diri sendiri, suami / isteri atau anak dan bukan untuk kegunaan perniagaan

Contoh:

Pak Teh membeli laptop untuk kegunaan PdPR anaknya dengan harga RM4,000 pada 1/1/2021. Pak Teh boleh menuntut keseluruhan perbelanjaan itu dengan memasukkan RM2,500 di ruang pelepasan gaya hidup TAMBAHAN ini dan baki RM1,500 dimasukkan di ruang pelepasan gaya hidup.

Jika Pak Teh ada beli buku, bil internet, baki boleh tuntut tinggal RM1,000 kerana pelepasan gaya hidup ini juga terhad kepada RM2,500.

TAMBAHAN gaya hidup berkaitan aktiviti sukan (RM500)

Sewaan fasiliti sukan seperti court futsal, court badminton dan yuran penyertaan pertandingan.

. Perbelanjaan melancong dalam negara (RM1,000)

Pelepasan cukai untuk perbelanjaan perjalanan dalam negara. (Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021).

Bayaran masuk ke pusat tarikan pelancong seperti taman tema juga dibenarkan.

Jangan lupa pergi bercuti dan simpan bukti pembayaran berkaitan. Premis penginapan yang berdaftar boleh disemak dipautan : http://www.motac.gov.my/semakan/hotel-berdaftar

6. Insurans dan Pelaburan

Sudah mencarum takaful atau belum?

Takaful/Insurans hayat:

Pekerja sektor swasta (RM3,000)

Pekerja sektor awam (RM7,000)

Takaful/Insurans pendidikan dan perubatan (RM3,000)

Skim Skim Persaraan Swasta atau Private Retirement Scheme (PRS) – RM3,000

Jika buka akaun sebelum 31 Disember 2021 masih layak tuntut pelepasan ini tahun depan.

Baca juga 6 Mitos Yang Menyebabkan Ramai Orang Malas Nak Ambil Takaful dan Menyimpan Untuk Hari Persaraan Mengikut Prinsip Islam

7. Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) (RM250)

B. Pemotongan Cukai

8. Sumbangan

Rujuk :

PENCUKAIAN INDIVIDU BERMASTAUTIN

BAHAGIAN I – HADIAH ATAU SUMBANGAN DAN POTONGAN YANG DIBENARKAN

KETETAPAN UMUM NO. 8/2020

    Institusi /organisasi / dana yang diluluskan (Sehingga 10% daripada gaji)

    Contohnya jika kita menderma kepada Tabung COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan, Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah NADMA dan institusi atau organisasi diiktiraf.

    Bagi yang menderma secara tunai, rekod yang perlu disimpan ialah resit rasmi kerajaan, slip pindahan wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM), slip deposit cek, slip deposit melalui kaunter bank, slip pembayaran dalam talian atau slip pindahan melalui Interbank Giro (IBG Transfer).

    Boleh semak senarai NGO, badan kebajikan, institusi atau organisasi lain yang diluluskan di Senarai Institusi Atau Organisasi Yang Diluluskan Dibawah Subseksyen 44(6) ACP 1967.

    Aktiviti sukan yang diluluskan (Sehingga 10% daripada gaji)

    Projek yang diluluskan berkenaan kepentingan negara (Sehingga 10% daripada gaji)

    Hadiah wang dalam bentuk wakaf kepada mana-mana pihak berkuasa agama yang sesuai yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau Universiti Awam yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama (Sehingga 10% daripada pendapatan aggregat)

9. Sumbangan Lain

    Derma/Hadiah wang kepada Kerajaan/Kerajaan Tempatan (Nilai sumbangan)

    Artifak, manuskrip, lukisan (Nilai sumbangan)

    Derma/Hadiah wang untuk kemudahan perpustakaan atau kepada perpustakaan. (Nilai sumbangan tetapi di bawah RM20,000)

    Derma/Hadiah wang atau sumbangan manfaat bagi menyediakan kemudahan di tempat awam untuk orang yang kurang upaya.

    Derma/Hadiah wang atau kos peralatan perubatan kepada mana-mana badan rawatan kesihatan.

    Lukisan kepada Galeri Seni Negara atau galeri seni negeri

C. Rebat Cukai

10. Zakat / Fitrah

Jangan lupa untuk menunaikan tanggungjawab membayar zakat.

Tidak banyak negara di dunia yang memberikan kelonggaran kepada umat Islam dalam bab cukai. Di Malaysia, Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) memberikan keistimewaan kepada orang Islam.

Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja, maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang cukai (B/BE).

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...