Sunday 27 February 2022

NOSTALGIAKU - SMSAAS

 Tempat jatuh lagikan dikenang

1982 - 1986

SMK SAAS, Kajang 

----------------------------------------

Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang bermula pada tahun 1959 dengan penubuhan Darjah Menengah Melayu. Sebagai sekolah menengah melayu pertama di Daerah Hulu Langat, penubuhan Darjah Menengah Melayu berkait rapat dengan perkembangan pendidikan aliran Bahasa Melayu di negara ini selaras dengan perkembangan pendidikan kebangsaan iaitu pendidikan untuk semua kaum dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Pada awalnya, Darjah Menengah Melayu yang ditubuhkan ini tidak mempunyai bangunan sekolah sendiri. Sehingga tahun 1960, sekolah menumpang di bangunan Sekolah Rendah Kebangsaan Perempuan Kajang.


Di antara tahun-tahun 1961 dan 1963, Darjah Menengah Melayu berpindah dengan menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Lelaki Kajang, Sungai Kantan. Semasa ditubuhkan pada tahun 1959, Darjah Menengah Melayu mempunyai hanya satu kelas iaitu tingkatan satu dengan 40 orang murid serta 2 orang guru sahaja. Pada tahun 1963, bilangan kelas bertambah kepada empat kelas dengan kelas paling asas iaitu tingkatkan 3. Pelajar tingkatan 3 yang lulus peperiksaan LCE bagi tahun 1961 dan 1962 terpaksa melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 di Kuala Lumpur. Di antara sekolah yang menjadi pilihan ialah Sekolah Menengah Jalan Cochrane.


Pada awal tahun 1960an, Darjah Menengah Melayu mengalami perkembangan dengan bertambahnya bilangan kelas serta murid. Sambutan masyarakat di daerah ini terhadap Darjah Menengah Melayu begitu baik. Keadaan ini mendorong kerajaan membina sebuah sekolah menengah di Batu 14, Jalan Cheras, Kajang di atas tanah seluas 10.23 ekar. Pada penghujung tahun 1963, sekolah ini siap dibina dan pada Januari 1964, sekolah ini mula dibuka dengan nama Sekolah Menengah Melayu yang menumpang di Sekolah Rendah Lelaki Kajang berpindah ke sekolah ini. Pada masa itu, SMKK merupakan Sekolah Menengah yang pertama di Kajang. SMKK bermula dengan lima buah kelas yang terdiri daripada 326 orang murid dan lapan orang guru. Lima kelas tersebut termasuk kelas tingkatan empat. Dengan ini murid yang lulus LCE tidak perlu lagi melanjutkan pelajar ke Kuala Lumpur. SMKK didirikan berdasarkan beberapa sebab yang difikirkan perlu oleh pihak Kementerian Pendidikan pada masa itu


Pertamanya, untuk membolehkan pelajar-pelajar sekolah rendah kebangsaan di daerah Hulu Langat meneruskan persekolahan mereka ke sekolah menengah kebangsaan. Pada 5 Mei 1967, sekolah ini telah dirasmikan dan ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah. Nama ini adalah bersempena dengan nama perasmi iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor iaitu DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Semenjak ditubuhkan, sekolah ini telah mengalami pelbagai perkembangan.


Bermula pada tahun 1966, dua mata pelajaran elektif iaitu Seni Perusahaan dan sains rumahtangga telah diperkenalkan kepada pelajar tingkatan satu. Kedua-dua mata pelajaran elektif ini diajar sehingga ke Tingkatan Tiga. Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1970, Tingkatan Empat Aliran Sains diwujudkan. Ini bermakna sekolah ini mempunyai dua aliran iaitu sains dan sastera. Pada tahun 1972, sebuah kelas peralihan dibuka. Kelas tersebut adalah kelas bagi pelajar-pelajar lepasan Sekolah Rendah Cina dan Tamil. Kelas peralihan ini diadakan bagi menumpang pelajar-pelajar bukan Melayu dari SRJK Cina Batu 9 dan SRJK Jalan Semenyih, Kajang. Pada tahun 1976, sebuah kelas Pendidikan Khas untuk kanak-kanak pekak dan bisu telah dibuka. Pada tahun 1979, Tingkatkan Enam Rendah Sastera dibuka. Ini bermakna pada tahun 1980, SMK SAAS telah menjadi sebuah sekolah menengah yang berada dalam Kumpulan Gred A. Mulai tahun 1980, SMK SAAS terdiri daripada tingkatan peralihan hingga tingkatan enam atas. Bagaimanapun, dalam tahun 1989, kelas peralihan dipindahkan ke Sekolah Menengah Perimbun, Kajang. Murid-murid yang belajar di SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang berasal dari kawasan sekitar Kajang. Bagaimanapun, ada pelajar menetap di kawasan yang jauh dari sekolah. Bagi kemudahan pelajar-pelajar ini, sebuah asrama telah didirikan pada tahun 1971. Asrama ini terdiri daripada dua blok bangunan yang dapat menampung kira-kira 100 orang pelajar lelaki dan 100 orang pelajar perempuan. Asrama ini telah dirasmikan oleh DYMM Tengku Idris Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah, Pemangku Sultan Selangor pada 24 Jun 1972.


#tempatjatuhlagidikenang

#19821986



Thursday 24 February 2022

The TRUE STORY OF….

 ALMARHUM SULTAN IDRIS AL-MUTAWAKKIL ALALLAHI SHAH II

Kredit : Mohd Hasrol Haffiz Aliasak

Kisah pada tahun 1983 kira-kira jam 3.00 pagi. Taubat Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah II ibni al-Marhum Sultan Alang Iskandar Shah Kaddasullah di Masjidil haram..

"Aku Tak Minum Arak Lagi,Aku Minum Teh Cina"

Dalam banyak-banyak cerita itu, tersebutlah sebuah kisah bagaimana kononnya seorang Sultan telah mangkat ketika sedang minum-minum.

Disebabkan adanya orang politik yang memusuhi Sultan tersebut,maka cerita yang tak betul itupun disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan.

Cerita sebenarnya, mengenai Sultan ke Mekah dan bertaubat tidak pula disebutkan.

Saya berbangga kerana masih ada lagi penulis yang sanggup menulis tentang kebenaran yang hak.Oleh itu di bawah ini saya siarkan semula tulisan beliau yang telah disiarkan pertama kalinya dalam majalah ‘Imam’ edisi Januari 1990. Disamping itu saya juga menyiarkan sebuah tulisan yang lain bertajuk ‘Dari Istana Ke Bilik Suluk’ oleh Muhamad Jihad.

Cerita mengenai Sultan tersebut ditulis oleh Akhdiat Miharja itu saya petik seperti berikut.

Kekuasaan dan kemewahan hidup menjadikan manusia lupakan Allah dan melakukan segala kemungkaran, tetapi ketika diburu maut, penyesalan dan taubat menggantikan titik terakhir bagi kehidupan.

Demikian juga yang berlaku ke atas Almarhum Sultan Perak, Raja Idris Shah Ibni Sultan Alang Iskandar – beliau mengakui melakukan berbagai-bagai maksiat dan kemudiannya bertaubat dalam masjid Haram.

“Saya banyak dosa, tak lalu nak bilang, macam gunung, macam Sungai Perak,” titah baginda kepada saya.

“Saya tau saya banyak berpura-pura kepada rakyat, depan mereka saya macam orang alim, tapi di belakang, di luar negeri saya berbuat maksiat,” titahnya.

“Allahu Akbar, saya tau dosa dan pahala, halal dan haram, tapi kerana saya Sultan yang berkuasa, mewah hidup dan lupakan Allah, saya buat semuanya,” titah Sultan lagi.

“Saya syukur, saya sempat bertaubat dalam Masjid Haram…saya menangis, saya menyesal…saya harap Allah terima taubat saya sebelum saya mati,” tambahnya.

Demikian suatu madah rendah diri dari seorang Sultan kepada saya di Istana Tambun, Ipoh kira-kira jam 3.00 pagi dalam tahun 1983.Baginda baru kembali dari melakukan ibadah umrah di Makkah.

Saya dijemput ke Istana Tambun oleh baginda sehari selepas baginda pulang dari Makkah dan pertemuan saya dengan baginda pada pagi itu benar-benar terasa sedih dan pilu dalam diri saya.

Ketika saya tiba di ambang pintu Istana Tambun kira-kira jam 11.00 malam, seorang pegawai istana memberitahu saya, yang Sultan sedang menunggu saya dalam bilik di tingkat atas.

“Ada siapa bersama baginda?” saya bertanya.

“Tak ada, baginda sedang baca Quran,” jawab pegawai itu.

Sebaik baik saja saya mendengar kata-kata pegawai yang lurus seperti pegawai istana Harun Amirul Rasyid itu, timbul sesuatu yang luar biasa dalam hati saya.

“Kalau Sultan dah baca Al-Quran, ini dah ganjil,” hati saya berkata lalu saya memanjat tangga istana.

Sebagai penulis, saya diberikan kebebasan oleh Sultan Perak untuk masuk ke dalam mana-mana istananya di Kuala Kangsar dan di Ipoh hingga Istana Perak di Kuala Lumpur.

Sebaik-baik saja saya melangkah masuk ke dalam bilik dan belum sempat saya memberi salam, Sultan Perak dengan nada bergurau bertitah, “Orang dah kaya, aku yang dah nak mati ni pun tak ingat.”

“…Tuanku belum nak mati, umur Tuanku panjang,” saya berkata sambil menghulurkan dua puntung tangan kepada baginda lalu baginda menyambut.

“You kata aku panjang umur, Allah kata you tak tau,” titah Sultan dengan wajah tenang.

Saya diam dan duduk atas kerusi di hadapan baginda.

“Nah, minum air zam-zam ni, aku ajak pergi ke Makkah tak nak, bukan kena keluar duit, aku yang nak belanja,” titah Sultan sambil mengunjuk gelas kosong kepada saya.

Waktu itu saya diam dan hanya mecapai jag berisi air zam-zam lalu menuang ke dalam gelas dan saya minum.

“Tuanku sihat di Makkah?”

“Sihat tu sihatlah, tapi hati…Allah yang tahu,” titahnya.

“Ngapa, ingatkan yang baru ni (isteri)?” saya bergurau.

“Tak, aku tak ingat siapa, yang aku ingat mati…, aku akan mati tak lama lagi…,”jawab baginda.

Saya sedar Sultan Perak ada menuntut ayat Al-Quran dari Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim di Kepala Batas dan sekiranya ayat Al—Quran yang dihafal itu tidak dapat dibaca atau lupa, maka bererti maut hampir tiba kepada yang menghafal ayat tersebut.

“You buat tak tau, kan guru kita dulu ajar ayat Quran tu, di Makkah aku lupa ayat tu,” titah Sultan.

“Tak tuntut ayat tu, Tuanku, patik tuntut ayat lain,” saya berkata serius.

“Aku lupa ayat tu sebaik-baik masuk ke Makkah…, aku menangis kerana aku banyak buat maksiat, doa…,” Titah Sultan sambil mengunjukkan sebuah Al-Quran kepada saya.

“Allah tau, aku ni Sultan, berkuasa, mewah hidup, rakyat jelata sanjung aku sebagai ketua agama Islam di negeri ini, tapi aku…,” titah Sultan dan kelihatan baginda mengesat air matanya dengan belakang tangan kirinya.

“…tapi aku menyesal, aku bertaubat dalam masjid Haram, aku menangis kerana insaf akan diri aku yang telah banyak buat dosa,” titah Sultan.

“Tuanku usah sedih, Allah tetap menerima taubat Tuanku, sekadarkan Tuanku jangan ulangi lagi, jangan tau buat, bukan taubat…” kata saya sambil senyum.

“Tak, aku tak buat lagi, aku tak minum arak lagi…aku hanya minum air teh China macam you…” titah baginda.

Dalam pertemuan kami dari jam 11.00 malam hingga jam 4.00 pagi itu tidak diganggu oleh sesiapa kerana baginda telah memberitahu pegawai istana supaya melarang orang masuk ke biliknya.

Di tingkat bawah ramai orang besar-besar dan pegawai kerajaan sedang minum-minum dan menari kata mereka bersyukur keranaSultan telah kembali ke tanahair.

Baginda bertitah dengan saya dari isi hatinya sendiri dan waktu itu saya digunakan oleh Sultan sebagai ulama atau pakar rujuk agama.

Saya menyebut begitu kerana Sultan membaca ayat-ayat Al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan baginda bertanya kepada saya akan sesuatu dalam ayat-ayat itu.

“Kalau Allah tak terima taubat aku macam mana?”Sultan bertanya.

Mendengar soalan itu saya hampir ketawa dan kemudian bergurau dengan berkata, “…Tuanku akan dibakar dalam api neraka yang hangatnya entah berapa juta kali ganda dari hangat api yang ada ini.”

“Allahu Akbar…!” Sultan bertitah dalam keluhan.

“I waktu itu melihat dari jauh,” saya bergurau lagi.

“You lainlah, you tak minum arak, tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa, tapi aku…?” Tanya Sultan.

“Kan Tuanku dah bertaubat dan Allah sedia menerima taubat Tuanku,” kata saya untuk menghilangkan keraguan baginda.

“Tu aku tau, tapi…,” titah Sultan sambil merenung muka surat Al-Quran.

Sesuai dengan pengakuannya, saya dapati baginda tidak minum arak lagi, hanya minum teh China dan saya merenung di atas meja kecil di sudut bilik itu ada sehelai sejadah.

Baginda bertitah, bahawa kalaulah baginda seorang rakyat biasa, mahulah baginda tinggal tinggal bermastautin di Makkah dan sentiasa melakukan ibadat di dalam Masjidil Haram.

Saya tidak mahu menjawab apabila baginda bertanya, apakah Allah akan menyoalnya di akhirat nanti akan tanggungjawabnya sebagai seorang Sultan Pemerintah dan sebagai Ketua Agama Islam di negeri Perak iaitu sejauh mana tanggungjawab itu baginda telah tunaikan.

Baginda tahu saya tidak mahu menjawab soalan itu dan baginda mengalih titahnya kepada hal Menteri Besar Perak, politik masa ini dan hasrat Baginda supaya negeri Perak mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.

Lalu saya berfikir pada pagi itu, bahawa Sultan Perak di hadapan saya adalah insan yang terpengaruh dengan segala kebendaan dan alim ulama dan orang Besar yang mengelilinginya tidak pernah menasihati baginda kepada jalan yang soleh.

“Tuanku ada mufti, kadi, dan alim ulama yang boleh membimbing Tuanku ke jalan yang soleh…” kata saya.

“Demo tu makan gaji…. Mana nak fikirkan semua ni…” titah baginda.

Saya hampir ketawa waktu itu kerana sebai-baik saja saya mendengar titah baginda saya teringat akan cerita filem Allahyarham P. Ramlee mengenai Negeri Perak, iaitu filem Musang Berjanggut.

Ulama dalam kisah Musang Berjanggut tidak menasihat Sultan kepada jalan yang soleh, sebaliknya dia melakukan kemungkaran.

Sayang apa yang kami cakapkan dan apa yang diluahkan oleh Sultan Perak kepada saya dari malam hingga ke pagi itu tidak seorang pun dari rakyat Negeri Perak mengetahuinya.

Waktu saya akan pulang meninggalkan Istana Tambun pada pagi itu, Sultan bertitah “Kalau aku mati, kalau you nak tulis biografi aku, jangan lupa tulis yang kita cakap tu.”

Beberapa hari kemudian baginda meninggal dunia sebelum meneguk air teh China dalam majlis jamuan yang diadakan oleh saudagar ikan di Sitiawan.

Baginda telah menitahkan saudagar ikan itu supaya menyediakan air teh China untuk baginda dalam majlis jamuan tersebut.

Oleh sebab anika jenis minuman keras turut dihidangkan dalam majlis itu, maka air teh China dalam gelas di hadapan baginda kelihatan seperti minuman keras juga.

Baginda meninggal dunia sebelum sempat minum air tersebut.saya mendapat tahu sepanjang perjalanan dari Taiping ke Sitiawan baginda telah bertengkar dengan isteri yang ke dua.

Sultan Perak mengidap sakit jantung disebabkan masa itu Negeri Perak diliputi oleh suasana krisis politik, iaitu antara baginda dengan Menteri Besar, Datuk Seri Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Teh, maka fitnah terhadap baginda disebarkan ke merata-rata yang kononnya baginda mangkat kerana banyak minum minuman keras.

Marilah kita semua menghadiahkan ‘Al-Fatihah’ ke atas roh baginda dan mendoakan semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan kita mohon kepada Allah agar meletakkan rohnya bersama orang-orang yang soleh.Amin Ya Rabbul Alamin..

Semoga kisah ini sampai ke jiwa-jiwa rakyat jelata 

Kredit : Mohd Hasrol Haffiz Aliasak




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...