Sunday 27 February 2022

NOSTALGIAKU - SMSAAS

 Tempat jatuh lagikan dikenang

1982 - 1986

SMK SAAS, Kajang 

----------------------------------------

Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang bermula pada tahun 1959 dengan penubuhan Darjah Menengah Melayu. Sebagai sekolah menengah melayu pertama di Daerah Hulu Langat, penubuhan Darjah Menengah Melayu berkait rapat dengan perkembangan pendidikan aliran Bahasa Melayu di negara ini selaras dengan perkembangan pendidikan kebangsaan iaitu pendidikan untuk semua kaum dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Pada awalnya, Darjah Menengah Melayu yang ditubuhkan ini tidak mempunyai bangunan sekolah sendiri. Sehingga tahun 1960, sekolah menumpang di bangunan Sekolah Rendah Kebangsaan Perempuan Kajang.


Di antara tahun-tahun 1961 dan 1963, Darjah Menengah Melayu berpindah dengan menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Lelaki Kajang, Sungai Kantan. Semasa ditubuhkan pada tahun 1959, Darjah Menengah Melayu mempunyai hanya satu kelas iaitu tingkatan satu dengan 40 orang murid serta 2 orang guru sahaja. Pada tahun 1963, bilangan kelas bertambah kepada empat kelas dengan kelas paling asas iaitu tingkatkan 3. Pelajar tingkatan 3 yang lulus peperiksaan LCE bagi tahun 1961 dan 1962 terpaksa melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 di Kuala Lumpur. Di antara sekolah yang menjadi pilihan ialah Sekolah Menengah Jalan Cochrane.


Pada awal tahun 1960an, Darjah Menengah Melayu mengalami perkembangan dengan bertambahnya bilangan kelas serta murid. Sambutan masyarakat di daerah ini terhadap Darjah Menengah Melayu begitu baik. Keadaan ini mendorong kerajaan membina sebuah sekolah menengah di Batu 14, Jalan Cheras, Kajang di atas tanah seluas 10.23 ekar. Pada penghujung tahun 1963, sekolah ini siap dibina dan pada Januari 1964, sekolah ini mula dibuka dengan nama Sekolah Menengah Melayu yang menumpang di Sekolah Rendah Lelaki Kajang berpindah ke sekolah ini. Pada masa itu, SMKK merupakan Sekolah Menengah yang pertama di Kajang. SMKK bermula dengan lima buah kelas yang terdiri daripada 326 orang murid dan lapan orang guru. Lima kelas tersebut termasuk kelas tingkatan empat. Dengan ini murid yang lulus LCE tidak perlu lagi melanjutkan pelajar ke Kuala Lumpur. SMKK didirikan berdasarkan beberapa sebab yang difikirkan perlu oleh pihak Kementerian Pendidikan pada masa itu


Pertamanya, untuk membolehkan pelajar-pelajar sekolah rendah kebangsaan di daerah Hulu Langat meneruskan persekolahan mereka ke sekolah menengah kebangsaan. Pada 5 Mei 1967, sekolah ini telah dirasmikan dan ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah. Nama ini adalah bersempena dengan nama perasmi iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor iaitu DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Semenjak ditubuhkan, sekolah ini telah mengalami pelbagai perkembangan.


Bermula pada tahun 1966, dua mata pelajaran elektif iaitu Seni Perusahaan dan sains rumahtangga telah diperkenalkan kepada pelajar tingkatan satu. Kedua-dua mata pelajaran elektif ini diajar sehingga ke Tingkatan Tiga. Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1970, Tingkatan Empat Aliran Sains diwujudkan. Ini bermakna sekolah ini mempunyai dua aliran iaitu sains dan sastera. Pada tahun 1972, sebuah kelas peralihan dibuka. Kelas tersebut adalah kelas bagi pelajar-pelajar lepasan Sekolah Rendah Cina dan Tamil. Kelas peralihan ini diadakan bagi menumpang pelajar-pelajar bukan Melayu dari SRJK Cina Batu 9 dan SRJK Jalan Semenyih, Kajang. Pada tahun 1976, sebuah kelas Pendidikan Khas untuk kanak-kanak pekak dan bisu telah dibuka. Pada tahun 1979, Tingkatkan Enam Rendah Sastera dibuka. Ini bermakna pada tahun 1980, SMK SAAS telah menjadi sebuah sekolah menengah yang berada dalam Kumpulan Gred A. Mulai tahun 1980, SMK SAAS terdiri daripada tingkatan peralihan hingga tingkatan enam atas. Bagaimanapun, dalam tahun 1989, kelas peralihan dipindahkan ke Sekolah Menengah Perimbun, Kajang. Murid-murid yang belajar di SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang berasal dari kawasan sekitar Kajang. Bagaimanapun, ada pelajar menetap di kawasan yang jauh dari sekolah. Bagi kemudahan pelajar-pelajar ini, sebuah asrama telah didirikan pada tahun 1971. Asrama ini terdiri daripada dua blok bangunan yang dapat menampung kira-kira 100 orang pelajar lelaki dan 100 orang pelajar perempuan. Asrama ini telah dirasmikan oleh DYMM Tengku Idris Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah, Pemangku Sultan Selangor pada 24 Jun 1972.


#tempatjatuhlagidikenang

#19821986



No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...