Tuesday, 24 July 2012

Sepuluh lagu raya sepanjang zaman


Sepuluh lagu raya sepanjang zaman

Lagu raya bukan sahaja menjadi pilihan di bulan Syawal (di saat anda berada di kampung, dengan sepinggan nasi himpit dan kuah kacang, segelas air sirap selasih dan berbalang-balang kuih raya), malah ia menjadi muzik yang bermain di segenap pelusuk negara sebaik sahaja Ramadhan bermula.
Kami telah memilih sepuluh buah lagu raya terbaik sepanjang zaman yang menjadi dendangan pilihan setiap kali menjelangnya Hari Lebaran.
Dari Jauh Ku Pohon Maaf (1993)
Penyanyi Asal: Sudirman



Dipetik daripada album "Balik Kampung" yang dihasilkan khas oleh Sudirman sempena Hari Lebaran, lagu ini paling sesuai untuk mereka yang tidak dapat pulang akibat bekerja dan tidak dapat bercuti (biasanya disebabkan masih bujang dan tidak diberi keutamaan untuk pulang beraya). Suara Allahyarham Sudirman yang mendayu-dayu dan menusuk kalbu itu boleh menyebabkan sesiapa saja mengalirkan air mata sambil memeluk radio.
Dendang Perantau (1950-an)
Penyanyi Asal: Tan Sri P. Ramlee
Lagu "Dendang Perantau" merupakan antara lagu raya terawal selain dari "Selamat Hari Raya" nyanyian Saloma dan lagu "Miskin Kaya" nyanyian Nona Asiah. Sesuai ditujukan buat mereka yang sudah lama tidak pulang beraya bersama keluarga dan kekasih di kampung. Lagu hasil nukilan S. Sudarmaji dan P. Ramlee ini tidak pernah luput ditelan zaman sekalipun sangat menjengkelkan apabila dinyanyikan oleh artis lain.
Suasana Di Hari Raya (1986)
Penyanyi Asal: Anuar Zain & Ellina
Jika anda rindukan zaman suara "Kain Pelekat" Anuar Zain, anda boleh mendengarnya setiap tahun kerana lagu karya Adnan Abu Hassan dan Habsah Hassan ini benar-benar mempamerkan kecomelan Anuar dan pasangan duetnya Ellina yang cukup terkenal di era 80-an. Lagu yang menggambarkan suasana pada hari raya dari kaca mata kanak-kanak ini sesuai untuk mereka yang sangat sukakan Hari Lebaran dan semua tradisi yang datang bersamanya Juga juadah hari raya... dan duit raya.
Satu Hari Di Hari Raya (1994)
Penyanyi Asal: M.Nasir
Melihatkan terlalu banyak lagu raya yang memberatkan isu-isu tidak balik beraya, ketupat rendang dan kegembiraan makan di siang hari selepas sebulan berpuasa, sifu M.Nasir memilih untuk mencipta sebuah lagu yang menginterpretasi sambutan tersebut daripada perspektif lain. Lebih kepada monolog tentang keindahan rohaniah pagi Syawal, "Satu Hari Di Hari Raya" sesuai untuk mereka yang menghargai hari raya dari sudut emosi dan perasaan bahagia mensyukuri nikmat yang diberikan pada hari tersebut. Tentu sekali bukan lagu untuk mereka yang tertidur dengan zip seluar dilonggarkan selepas makan tiga batang lemang dan dua balang kuih batang buruk.
Cahaya Aidil Fitri (1981)
Penyanyi Asal: Black Dog Bone
"Cahaya Aidil Fitri" merupakan sebuah lagu syahdu karya S. Atan dan Haron Abdul Majid yang menterjemah hari lebaran dari pandangan mereka yang sudah kehilangan orang tersayang. Namun begitu, jangan sesekali anda menyanyikannya di depan mereka yang sudah kehilangan dengan niat untuk menghiburkan mereka. Anda hanya akan dianggap menjengkelkan dan tidak akan dijemput untuk datang beraya tahun depan.
Kepulangan Yang Dinanti (1981)
Penyanyi Asal: Aman Shah
Tahun 80-an sememangnya tahun lagu raya. Lebih puluhan lagu-lagu baru dihasilkan, namun lagu Aman Shah hasil ciptaan Osman Taib dan A.S. ini menjadi antara lagu yang masih kekal di hati pendengar kerana tema sedihnya. Entah kenapa, para pendengar sukakan lagu-lagu yang syahdu pada hari raya dan "Kepulangan Yang Dinant" amat sesuai buat ibu bapa yang menantikan kepulangan anak-anak mereka di hari raya.
Selamat Hari Raya (1955)
Penyanyi Asal: Saloma
"Selamat Hari Raya" merupakan antara lagu raya yang paling klasik dan paling digemari ramai kerana benar-benar dapat menterjemah kebahagiaan dan kegembiraan pada hari raya, apatah lagi apabila korusnya dinyanyikan bersama-sama dengan suara anak-anak dan bunyi tertawa yang menghiasi latar lagu. Dihasilkan oleh Ahmad Jaafar (yang juga merupakan penggubah lagu-lagu hit filem seperti "Ibu" dah "Hujan Lebat"), liriknya yang mudah dan muziknya yang begitu catchy menjadikan ia antara lagu pertama yang akan anda nyanyikan secara tidak sedar apabila diminta menyanyikan lagu raya.
Pulang Di Hari Raya (1981)
Penyanyi Asal: Noorkumalasari
Pada tahun 1981 juga, penulis lirik dan pencipta lagu Syed Haron telah menghasilkan sebuah lagu bertajuk "Pulang Di Hari Raya" dan telah diberikan kepada model dan penyanyi jelita Noorkumalasari. Lagu khas buat mereka dalam perjalanan pulang ke kampung ini merupakan antara road songs pilihan di musim raya selain daripada "Menjelang Hari Raya" nyanyian DJ Dave dan "Balik Kampung" nyanyian Sudirman.
Sesuci Lebaran (1998)
Penyanyi Asal: Dato' Siti Nurhaliza
Tidak dapat dipastikan sama ada lagu ini popular kerana ia cukup unik untuk menjadi lagu malar segar atau kerana populariti Dato' Siti ketika itu menyebabkan ia menjadi pilihan ramai. Namun begitu, ia tetap menjadi antara pilihan utama untuk disiarkan di corong radio. Yang anehnya, tidak ramai artis baru cuba menyanyikan semula lagu ini. Mungkin kerana Dato' Siti masih menjadi pilihan utama rancangan TV istimewa Hari Raya dan akan menyanyikan lagu ini.
Menjelang Hari Raya (1977)
Penyanyi Asal: DJ Dave
Dalam banyak-banyak lagu raya, inilah lagu yang rentaknya begitu sesuai untuk menjadi hiburan tatkala anda memandu dalam kesesakan lalu lintas dalam perjalanan pulang ke kampung. Lagu ciptaan S. Atan dan lirik oleh Kamali Hudi ini juga merupakan antara lagu yang dimasukkan ke dalam album "Bergembira Di Hari Raya" selain "Seloka Di Hari Raya" nyanyian Uji Rashid dan Hail Amir serta "Suasana Hari Raya" nyanyian Sharifah Aini. Oleh kerana temponya yang rancak dan menaikkan semangat, kami akan memaafkan liriknya yang agak no-brainer, seperti "Menjelang hari raya, berakhirnya puasa" dan "Semoga berbahagia, hidup aman sentosa". Sudah tentulah!

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...