Semasa kecil, umur sekolah rendah, saya pernah minum air paip dalam bilik air semasa bulan puasa. Ibadah puasa lebih dirasai sebagai adat. Memori kurang mengingatinya sebagai pendidikan agama.
Emak ayah ajak bersahur bersama, berbuka bersama. Memori bangun sahur kebingungan, terdengar bacaan Quran nostalgia Imam Huzaifi. Lepas sahur kadang-kadang tidur balik. Ada masa emak marah. Pernah juga percik-percik air ke muka buat gaya macam berwudhu’ tapi tak solat pun. Namanya pun budak-budak.
Semasa berbuka, emak ayah tidak tanya puasa ke tidak hari itu. Makan, makan sama-sama. Lepas berbuka, main dengan kawan-kawan. Punyalah brutal main aci nyorok malam-malam sampai ke tanah kubur. Bukan sebab dah belajar hadith kata syaitan kena ikat. Tak pernah tahu pun. Tapi sebab seronok sangat bermain. Bila dengar nama Saidina Ali dilaung pak bilal, tahu dah tarawih sudah nak habis. Bersedia untuk ke masjid, moreh berjemaah.
Orang tua-tua jerkah, kome sembahyang ke idak? Kami sengih. Sambung makan.
Ia bukanlah semestinya cara terbaik. Bukan petua. Bukan ajak buat macam itu. Semoga Allah mengurniakan sebanyak-banyak ganjaran buat emak dan abah pada didikan dan kasih sayang mereka.
Cuma hari ini giliran kita jadi ibu bapa. Ibu bapa yang hilang seni dalam mendidik, hingga beralih kepada keibubapaan yang tegang.
Panik anak tidak komited puasa dan solat. Sedangkan akil baligh pun belum.
Kita baca cerita orang masuk Islam umur 30 tahun, artis bertaubat umur 50, orang baik bertukar jadi penjenayah dan macam-macam lagi dinamika kehidupan.
Apa yang kita ingat mungkin kisah al-Fatih tidak pernah tinggal solat semenjak akil baligh, dan jadi sebaik-baik amir. Kita mahu anak kita jadi al-Fatih yang seorang itu. Rakyat zaman itu yang kita tidak tahu nama mereka pun, saya yakin ramai yang Allah redha dan masuk Syurga.
Salah bukan salah selamanya. Baik juga tiada jaminan baik selamanya. Silap bukan silap selamanya. Betul pun, ada masanya tersilap juga.
Yang pasti, sekali gagal, cuba lagi. Sekali silap, betulkan lagi. Itulah pendidikan. Iman naik turun, realiti manusia.
Kita bukan malaikat.
Dan Allah tak pilih malaikat jadi khalifah walaupun yang baik itu malaikat.
Bertenang.
Sumber: FB My Learning Journey
Salam dan selamat berkenalan dariku yang serba baru di alam Blogger ini...sebenarnya hasrat untuk mencipta blog sendiri telah lama diimpikan tetapi oleh kerana bbrp halangan tertentu, maka hasrat itu tergendala sehinggalah kini saya telah temui masa dan keadaan yang sesuai...alhamdulillah. Semoga apa yang dibaca dan perolehi dari blog saya ini dapat dimanfaatkan bersama dan menjadi panduan dan tauladan untuk kehidupan kita seterusnya. Sekian dan salam kenalan dari saya....LaiLy WaHab!
No comments:
Post a Comment
Any comment? Please....