Monday, 4 June 2012

SUNNAH KETIKA MINUM




Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam telah menunjukkan contoh teladan yang terbaik yang boleh diikuti untuk menjaga kesihatan tubuh badan agar sentiasa sihat bagi memudahkan kita menjalani ibadah kepada Allah Ya Rahim Ya Karim.!

1. Gunakan Tangan Kanan
Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam (SAW) mengajar untuk kita makan dan memegang bekas minuman menggunakan tangan kanan dan melarang umatnya menggunakan tangan kiri kerana ia adalah sifat syaitan dan ciri-ciri orang yang bongkak.
Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda; “Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (HR Muslim)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda; “Jika salah seorang dari kamu hendak makan, hendaklah makan dengan tangan kanan. Dan apabila ingin minum, hendaklah minum dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (HR. Muslim)


2. Niat Kerana Allah SWT
Hendaklah ketika minum berniat bagi menyegar dan menyihatkan tubuh badan supaya memudahkan beribadah dan kerana Allah SWT.
Hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan.” (Riwayat al-Bukhari).


3. Baca ‘Basmallah’
Memulai minum dengan Basmalah: ‘Bismillahir-rahmanir-rahim’ 
Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.
“Apabila seseorang di antara kamu minum dan memakan makanan, katakanlah ‘Bismillah’. Apabila lupa pada permulaannya, katakanlah ‘Bismillahi fii awwalihi wa aakhirihi.’” (HR. Abu Dawud dan at-Tirmidzi)


4. Membaca Doa
Doa minum air;
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَشْرَبُهُ لِتَغْفِرَلِى وَلِتَفْعَلَ بِى، فَاغْفِرْلِى أَوِافْعَلْ
Ya Allah! Sesungguhnya daku meminumnya dengan harapan Dikau mengampuni daku dan mengabulkan maksudku; Maka ampunilah daku serta kabulkanlah.


5. Minum Dengan Tiga Nafas
Minum dengan tiga kali tegukan dan elakkan bernafas ke dalam bekas minuman. Setiap kali berhenti minum hendaklah diarahkan pernafasan ke tempat lain.Dari Abu Qatadah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika kamu minum maka janganlah bernafas dalam bekas air minumnya.” (HR. Bukhari dan Muslim r.a.)

Nabi SAW sering meminum dengan tiga kali teguk, sambil bernafas di luar gelas dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ di antara tiga kali tegukan. Baginda SAW juga akan teruskan minum dengan setiap tegukan diselangi bernafas di luar gelas sehingga habis.
Diriwayatkan dari Anas radhiyalaahu anhu (r.a.) bahawa Rasulullah SAW bernafas tiga kali ketika minum, “Rasulullah SAW biasa bernafas tiga kali sewaktu minum.” (HR. Muttafaq ‘alaih).
Anas bin Malik r.a. berkata lagi; Baginda SAW bersabda: “Sungguh, ini lebih mengenyangkan, menyembuhkan, dan menyegarkan”. (HR Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu beliau mengatakan, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam minum beliau mengambil nafas di luar bekas air minum sebanyak tiga kali.” Dan Baginda SAW bersabda, “Hal itu lebih segar, lebih sedap dan lebih nikmat.” Anas mengatakan, “Oleh kerana itu ketika aku minum, aku bernafas tiga kali.” (HR. Bukhari no. 45631 dan Muslim no. 2028)


6. Dilarang Meniup Minuman
Jangan bernafas dan meniup air minum di dalam bekas, terutama meniup air yang panas, kerana perbuatan itu akan menjadikan minuman bertoksid disebabkan Co2 yang dihembuskan ke dalamnya.
Ubay bin Ka’ab berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah meniup makanan dan minuman, tidak bernafas di dalam cawan. Bahkan beliau melarang meniup makanan dan minuman.”

Dari Ibnu Abbas, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk bernafas atau meniup bekas air minum.” (HR. Turmudzi no. 1888 dan Abu Dawud no. 3728, hadits ini dishahihkan oleh Al-Albani)
Dalam Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi mengatakan, “Larangan bernafas dalam bekas air minum adalah termasuk etika kerana dikhuatirkan hal tersebut mengotori air minum atau menimbulkan bau yang tidak enak atau dibimbangkan ada sesuatu dari mulut dan hidung yang terjatuh ke dalamnya dan hal-hal semacam itu.”


7. Hindari Menonggang
Rasulullah SAW telah mengajarkan adab meminum air dengan cara duduk, menempelkan bibir ke air, bernafas di luar gelas serta tidak minum dengan cara menonggang. Maksudnya adalah mencegah masuknya udara ke dalam perut.


8. Minum Dalam Keadaan Duduk
Janganlah kita minum dalam keadaan berdiri walaupun ia dibolehkan tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram.
Anas juga berkata: “Rasulullah SAW telah melarang minum sambil berdiri”. (HR Muslim)

Jika tidak ada tempat untuk duduk adalah diharuskan minum sambil berdiri.
Adapun Rasulullah SAW pernah sekali minum sambil berdiri, oleh kerana ada sesuatu yang menghalangi Baginda SAW untuk duduk, seperti penuh sesaknya manusia pada tempat-tempat suci, bukan merupakan kebiasaan. Ingat hanya sekali kerana darurat!

Dari Ibnu Abbas beliau mengatakan, “Aku memberikan air zam-zam kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka Baginda SAW lantas minum dalam keadaan berdiri.” (HR. Bukhari dan Muslim r.a.)


9. Larangan Minum Dalam Bekas Besar
Elakkan diri kita meminum dari bekas yang besar seperti teko dan cerek. Apabila kita minum dari bekas yang besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita.
Sewaktu kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dengan air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic.
Ibnu Abbas menambahkan: “Rasulullah SAW telah melarang minum dari mulut teko”. (HR Bukhori dan Ibnu Majah)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah kamu minum sambil berdiri. Sesiapa terlupa sehingga minum sambil berdiri, maka hendaklah ia berusaha untuk memuntahkannya.” (HR. Ahmad r.a.)


10. Menutup makanan dan minuman
Tutuplah tempat minuman terutama pada malam hari. Rasulullah SAW mewajibkan menutup makanan untuk melindunginya dari pencemaran, sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi SAW: “Tutuplah makanan dan minuman”. (HR. Bukhari r.a.)

Dari Jabir bin Abdillah, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tutupilah bejana-bejana dan wadah air. Kerana dalam satu tahun ada satu malam, ketika itu turun wabak, tidaklah ia melalui bejana-bejana yang tidak tertutup, ataupun wadah air yang tidak diikat melainkan akan turun padanya sesuatu penyakit.” (HR. Muslim r.a.)


11. Ucapkan Hamdalah, ‘Alhamdulillah’
Setiap kali berhenti minum (pada setiap penafasan) dan setelah selesai minum bacalah ‘Alhamdullilah’ tanda kita bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan.


12. Mencuci mulut (berkumur) selepas makan
Hal ini dimaksudkan untuk membersihkan gigi dari sisa makanan dan bakteria. Secara Rasulullah SAW beliau menekankan pentingnya berkumur setelah minum susu: “Berkumurlah kalian setelah minum susu, kerana di dalamnya mengandung lemak”. (HR. Ibnu Majah)

Sila Tag+Sebar+Share : Semoga Secebis Pahala, Setitis Keberkatan, Keredhaan Illahi milik kita :

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...