Wednesday, 15 August 2012

SALAM AIDILFITRI 1433H

 Salam sahabat semua. Alhamdulillah kerana hari ini kita telah memasuki hari yang ke-27/26  kita berpuasa di bulan Ramadhan 1433H yang mulia ini. InsyaAllah dalam beberapa hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri dalam bulan Syawal yang penuh dengan kemenangan. Marilah kita sama-sama berdoa semoga segala amalan kita selama ini diterima oleh Allah SWT hendaknya.  Juga dengan itu marilah juga kita sama-sama saling bermaafan atas segala salah dan silap kita antara satu sama lain.  Semoga kita suci dan bersih kembali dari segala dosa dan noda sama ada terhadap Pencipta kita mahupun sesama insan.  



Tahun ini adalah tahun ke-5 kami sekeluarga beraya di perantauan.  Walaupun pada awal jangkaan kami akan kembali ke tanah air sebelum syawal tiba, namun TAKDIR Allah mengatasi segala-galanya.  kami redha dan akur dengan segala ketentuan ini.  Mungkin ada hikmah disebalik semua yang berlaku ini. Walaupun berpuasa dalam keadaan yang serba sederhana kerana barang-barang rumah dan kereta telah berlayar namun kami bersyukur kerana kami sekeluarga dapat menerima hakikat ini dengan seikhlasnya,,InsyaAllah.  Aku amat berterima kasih kepada suami dan anak-anak yang amat memahami situasi ini kerana aku juga memasak ala kadar sahaja.  Maklum la semua peralatan yang besar-besar dan mewah selama ini telah tiada.  Inilah dia gambaran rumah kami yang telah kosong. Hanya tinggal barangan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Pengurusan apartment sahaaja lagi.  Namun begitu kesyukuran tetap dipanjatkan kepadaNya kerana masih memberi peluang kepada kami untuk merasakan nikmat Ramadhan dan kemenangan Syawal di bumi Soviet ini yang telah menjadi suatu tempat TARBIYAH bagi kami sekeluarga khasnya diriku sendiri. SYUKUR ALHAMDULILLAH Ya Allah atas segala nikmatMu ini.
Berbuka dirumah bersama keluarga dan student

InsyaAllah jika tiada aral melintang dan dengan izinNya jua, kami akan meninggalkan bumi Moscow RF ini buat selama-lamanya pada minggu kedua bulan September nanti.  Semoga dengan kepulangan kami ini akan menjadi titik tolak untuk sebuah keakraban hubungan kekeluarga sesama kami anak-beranak dan ayahbonda serta adik-
beradik yang dirindui selama ini.  InsyaAllah!




Di rumah en Salman dan Pn Anipah bersama keluargaku


Akhirnya sebelum ku akhiri tulisan ini, dengan rasa rendah diri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki aku mewakili diri dan keluarga ingin memohon ampun dan maaf kepada semua sanak saudara, sahabat handai dan taulan serta pembaca setia blog ini.  Semoga segala apa yang kita lakukan dalam hidup ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan dariNya, InsyaAllah.  Buat semua kenalan jauh dan dekat, terima kasih atas segalanya.

Lagu RAYA dengan makna perkataan raya yang pelbagai....

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...