Thursday, 19 August 2021

Menyesal Dahulu Pendapatan..

 Copy n paste

Diriwayatkan sebuah kisah pada Hari 'Asyura tentang seorang faqir yang mempunyai keluarga dan mereka semua berpuasa pada hari itu dalam keadaan tidak mempunyai apa-apa pun.


Si faqir itu keluar ke sana sini untuk mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebagai hidangan berbuka untuk mereka sekeluarga tetapi tidak menjumpai apa-apa.


Kemudian dia masuk ke kawasan pedagang emas dan perak dan telah melihat seorang saudagar beragama Islam yang terdapat di kedainya timbunan emas dan perak.


Si faqir itu menuju kepada saudagar tersebut, memberi salam dan berkata kepadanya:


“Wahai tuan! Aku seorang faqir, aku berharap dapat berhutang dengan tuan sebanyak satu dirham sahaja untuk membeli sedikit hidangan berbuka untuk keluargaku. Aku akan berdoa untuk kebaikan tuan pada hari (yang mulia) ini”.


Saudagar itu terus memalingkan mukanya dan tidak memberikan apa-apa pun kepada si faqir tersebut. Lalu dia pun berpaling keluar dari kedai itu dalam keadaan hati yang remuk dan bercucuran air mata.


Pemilik kedai sebelah yang beragama yahudi telah melihat si faqir tersebut lalu menegurnya dengan berkata:


“Aku melihat kau bercakap dengan jiranku tadi, (apa yang terjadi)?”.


Si faqir menjawab:


“Aku pergi kepadanya dengan harapan dapat berhutang sebanyak satu dirham supaya aku boleh menyediakan makanan berbuka untuk keluargaku tetapi dia telah menolak permintaanku. Aku berkata kepadanya bahawa aku akan mendoakan kebaikan untuknya pada hari (yang mulia) ini (sebagai balasan jika dia sudi memberi hutang kepadaku)”.


Saudagar yahudi bertanya:


“Apa istimewanya hari ini?”.


Si faqir menjawab:


“Hari ini adalah Hari 'Asyura yang terdapat padanya sekian-sekian kelebihan”. (Menceritakan kelebihan yang ada padanya).


Lalu saudagar yahudi itu memberikan kepada si faqir sebanyak 10 dirham dan berkata kepadanya:


“Ambillah duit ini dan belanjakanlah ia kepada ahli keluargamu untuk memuliakan hari ini”.


Si faqir pun berlalu dari situ dalam keadaan gembira dan membelikan makanan yang istimewa untuk ahli keluarganya berbuka.


Tibanya malam hari, saudagar pertama yang beragama Islam tadi bermimpi seolah-olah Hari Kiamat telah terjadi dan dia dalam keadaan yang sangat haus dan terdesak.


Lalu dia melihat ada sebuah mahligai yang diperbuat dari batu permata yang berwarna putih manakala pintunya dari yaqut berwarna merah. Dia mendongakkan kepalanya sambil melaung:


“Wahai pemilik mahligai! Berilah kepadaku minum seteguk air”.


Kemudian dia mendengar satu suara berkata:


“Mahligai ini adalah milikmu semalam. Tetapi apabila engkau menolak permintaan si faqir tadi sehingga menyebabkan dia meninggalkanmu dalam keadaan kecewa, namamu ke atas mahligai ini telah dipadam dan digantikan dengan nama jiranmu si yahudi yang telah menghilangkan kekecewaan si faqir dan memberikan sebanyak 10 dirham kepadanya”.


Saudagar tersebut terjaga dari tidur dalam keadaan panik dan ketakutan. Dia mula menyesal dan mencela dirinya sendiri.


Pada keesokan harinya, dia pergi menemui saudagar yahudi dan berkata kepadanya:


“Engkau jiranku, aku ada hak ke atasmu sebagai jiran dan sekarang aku ada hajat terhadapmu”.


Yahudi bertanya:


“Apa dia?”.


Dia berkata:


“Engkau juallah kepadaku pahala untuk 10 dirham yang telah kau beri kepada si faqir semalam dengan bayaran 100 dirham”.


Lalu si yahudi menjawab:


“Demi Allah, aku tidak akan menjualnya walaupun dengan bayaran 100 ribu dinar! Kalaulah engkau minta untuk masuk ke dalam pintu mahligai yang kau mimpikan malam tadi, aku tidak akan sesekali memberimu keizinan!”.


Saudagar muslim itu terkejut dan bertanya:


“Siapakah yang memberi tahu kepadamu perkara itu?


Saudagar yahudi menjawab:


“Zat yang berfirman: Kun fa yakun. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah yang Maha Esa lagi tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah hambaNya dan utusanNya”.


Tammat.


Saudaraku! Lihatlah bagaimana yahudi ini, bersangka baik pada Hari 'Asyura sedangkan dia tidak tahu pun kelebihannya. Lalu Allah سبحانه وتعالى  mengurniakan balasan tersebut dan menganugerahkan kepadanya agama Islam.


Bagaimana pula dengan orang yang mengetahui fadhilat dan ganjaran yang disediakan pada hari ini tetapi bersikap sambil lewa sahaja untuk beramal padanya?! Alangkah ruginya orang itu!


~ Dinukil dari Hasyiah I’anah at-Tholibin karangan al-'Allamah Sayyid Abu Bakar Syatho al-Bakri رحمه الله تعالى.

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...