POLIGAMI ANTARA SUNNAH DAN SUNAT
Baru-baru ini terjadi satu perbincangan hangat antara saya dan hamba ALLAH yang saya hormati tentang poligami.
Di akhir perbincangan, saya mendapat teguran tentang kesalahan yang mana saya hormati teguran beliau, walaupun tanpa menyebut di mana silapnya dan mendakwa saya hanya mengikut hawa nafsu semata-mata.
Saya biarkan sahaja tanpa membalasnya, kerana mengira mungkin kesilapan tidak mendatangkan dalil-dalil yang kukuh tentang poligami.
Dengan sebab itu saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan lebih lanjut tentang poligami mengikut syarak, walaupun saya tahu kebanyakan kaum hawa menggigil bila menyentuh isu ini termasuklah saya.
Namun apakan daya, benda yang termaktub di dalam kitab suci al-quran, menghalalkan 4 perempuan bagi seorang lelaki dengan ikatan perkahwinan, terpaksalah akur dengan aturan ALLAH S.W.T. Semoga ganjaran syurga kepada kaum hawa yang bersabar dengan titian poligami.
Sebagaimana sedia maklum poligami lawannya monogami iaitu perkahwinan lebih dari satu dengan mana2 wanita yang halal baginya dikahwini.
HUKUMNYA???
Ramai menganggap poligami adalah sunat kerana RASULULLAH mengamalkan poligami. Perlu diingat berbeza sunnah dan sunat.
Sunnah adalah semua yang berkaitan dengan Rasulullah yang merupakan sumber rujukan kedua kepada agama bagi umat islam selepas al-quran. Peranannya juga bagi merungkaikan kekusutan ayat alquran yang sukar difahami skaligus menjadi role model kepada manusia.
Adapun sunat adalah hukum dalam ibaadah. Amalan sunat akan mendapat ganjaran bagi si pelaku, dan tidak berdosa bagi yang meninggalkannya. Ada perkara yang Rasulullah lakukan jatuh kepada wajib, ada perkara menjadi sunat, dan ada perkara menjadi harus kepada kita mengikut keadaan. (Perkara ini berat untuk dibincangkan secara mendalam. Semoga semua diberi kefahaman tentang ini)
Sekiranya hukumnya sunat kenapa hanya empat? tidak sembilan sebagaimana bilangan isteri2 RASULULLAH. (Nampak kan?)
Sebenarnya #hukum asal kepada #poligami adalah #HARUS.
Dalilnya : "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan2 yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan hati daripada kalangan perempuan-perempuan (lain yang bukan anak yatim), dua, tiga atau empat,
(Annisa' : 3)
Walau bagaimanapun, #hukum poligami boleh menjadi #SUNAT, #MAKRUH, dan #HARAM mengikut keadaan kaum Adam yang ingin berpoligami. Berikut adalah Keadaan-keadaannya :
1. SUNAT - suami memerlukan isteri yang lain; contoh, tidak cukup satu isteri atau isterinya sakit yang tidak mampu memberikan anak dan mampu berlaku adil.
2. MAKRUH - bukan keperluan tapi hanya keseronokan semata-mata dan meragui kemampuan berlaku adil. Boleh Berlaku kemudharatan kepada isteri disebabkan tidak mampu berlaku adil. Dalil hadis "tinggalkan perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu"
3. HARAM - yakin tidak mampu berlaku adil dari segi nafkah zahir dan batin. Ini kerana boleh memberikan kemudharatan kepada isteri.
Dalilnya : "kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri2 kamu), maka (berkahwinlah) dengan seorang perempuan sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kau miliki. Yang demikian itu lebih dekat untuk mencegah kamu tidak melakukan kezaliman.
(Annisa' : 3)
Dalil daripada hadis " tidak harus melakukan kemudharatan dan tidak harus saling memudharatkan"
Sekiranya berlaku keadaan 2 dan 3, maka perkahwinan tetap sah dan halal. Namun tetap menjadi kewajipan ke atas si suami memberikan mas kahwin, nafkah sekalipun hukumnya makruh dan haram.
Apakah keadilan yang boleh isteri-isteri tuntut?
Tuntutan nafkah si isteri adalah tempat tinggal, tempat tidur dan pergaulan yang baik, serta kewajipan si suami terhadap isteri-isterinya.
Adapun dari segi perasaan kasih sayang bukanlah keadilan yang mesti diperolehi oleh isteri-isteri selagi tidak membawa kepada kezaliman. Ini kerana manusia tidak akan mampu menimbang perasaan kasih sayang dengan sama rata.
Apakah hikmah dibenarkan poligami?
1. Menjaga kesucian mereka yang tidak cukup seorang isteri. Ini adalah fitrah semulajadi manusia. Berpoligami yang diiringi dengan penjagaan pensyariatan lebih baik daripada terjerumus dengan kegiatan zina.
2. Mengelakkan kaum hawa diburu oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab tanpa akad yang boleh menjamin masa depan anaknya. Ini lebih baik dari menjadi perempuan simpanan yang akhirnya membawa kekecewaan dan kemusnahan.
Keadaan yang membenarkan poligami :
1. Isteri tiada kenginan terhadap suami kerana sebab-sebab semulajadi atau sakit, sedangkan suami berkeinginan tinggi terhadap isteri.
2. Berlaku peperangan yang mengorbankan ramai lelaki. Ini menyebabkan bilangan wanita melebihi lelaki. Rasulullah sendiri mengahwini wanita yang berhijrah meninggalkan kaum keluarganya bersendirian, dan juga menjadi pelindung dengan mengahwini wanita yang kematian suami di medan perang.
3. Isteri tidak mampu memberikan anak sedangkan si suami amat menginginkannya. Ye, keadaan ini juga memberi kesan kepada emosi saya kerana masih belum dikurniakan anak, namun apakan daya sekiranya itu yang terbaik dan mampu memberikan kebahagiaan buat suami, saya akur akan ketentuanNya.
Pencerahan ini bukanlah bermaksud saya tidak bersetuju poligami bahkan wajib saya beriman dengan ayat2 suci alquran secara menyeluruh, bukan mengikut selera nafsu semata2.
Saya juga tidak berniat menghentam kaum lelaki yang ingin berpoligami dan bukan juga membela kaum isteri, bahkan hanyalah untuk membuka mata masyarakat apakah poligami mengikut kaca mata islam, supaya sistem kekeluargaan lebih harmoni dan tenteram.
Pesanan buat kaum Muslimin dan Muslimat
Secalit Pesanan kepada sang suami yang mahu membuka cawangan, ukurlah dengan sebaiknya panduan-panduan yang telah digariskan oleh syarak dengan kemampuan kalian, bukan hanya mengambil yang seronok dan melepaskan yang berat iaitu tanggungjawab sebagai ketua dalam rumahtangga.
Ikutlah betul-betul sunnah Rasulullah yang mana sangat menitik beratkan urusan rumahtangga sebagaimana hadis yang berbunyi "sebaik-baik dikalangan kalian, yang mana kamu berbuat baik kepada keluarganya, dan Akulah yang paling baik kepada ahli keluargaku"
Rasulullah sentiasa membantu isteri hatta di dapur, Rasulullah juga sentiasa melayan isteri-isterinya dengan penuh romantik, membawa isteri-isteri ikut bermusafir mengikut undian. Membawa hadiah setelah pulang dari jauh, mengajar ilmu dan bermain tanpa jemu melayan kerenah ummul mukminin. Perlu diingat Saidatina Aisyah satu-satunya isteri baginda yang perawan. Tepuk kepala tanya akal betul-betul mengikut sunnahkah aku??
Penyalahgunaan sesetengah orang jahil terhadap hak-hak berpoligami tidak menafikan hikmat islam mengharuskan poligami. Islam tidak bertanggungjawab terhadap tindakan buruk serta kebodohan golongan tersebut.
Islam tidak mengharuskan poligami untuk dijadikan senjata yang boleh menzalimi isteri. Sebaliknya Islam mensyariatkannya untuk menyahut keperluan, melindungi masyarakat dan menghapuskan perkara yang menjerumus ke lembah kehinaan.
Dengan sebab-sebab yang disebut serta syarat-syarat yang digariskan syarak, Islam mengharuskan poligami dan tidak mewajibkannya. Dalam masa yang sama Islam melingkunginya dengan jaminan-jaminan akhlak dan hak-hak tertentu.
Juga pesanan kepada sang isteri termasuk saya, jangan terlalu anti poligami sehingga mudah jari dan tangan kita kongsi maklumat yang tidak tepat kerana nafsu. Perlu diingat Slogan 'Anti Poligami' adalah suntikan halus musuh islam supaya tampak islam menzalimi kaum wanita serta memburukkan imej Rasulullah s.w.t. kerana membenarkan dan mengamalkan poligami.
Jangan kita mengharamkan yang halal disisi ALLAH sebagaimana teguran ALLAH kepada nabi yang berbunyi "wahai nabi! Mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan oleh ALLAH bagimu?". Jangan jadi seperti ahli kitab yang terdahulu menidakkan yang halal dan membenarkan yang haram mengikut selera hawa nafsu mereka yang akhirnya ke lembah kehinaan.
Berkongsi kasih dengan yang lain sememangnya pahit untuk ditelan, namun perlu akur dengan aturan tuhan yang menyediakan ganjaran tidak terhingga bagi isteri-isteri yang redha dengan ketentuan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua pihak, juga menambahkan ilmu feqah yang perlu dipelajari setiap individu yang bergelar muslim. Masyarakat yang harmoni bermula dari rumahtangga yang bahagia. Rumahtangga yang bahagia bermula dari individu yang berilmu, beramal dan beriman.
Sekiranya terdapat kesilapan dalam penulisan ini, saya berbesar hati menerima teguran berilmiah dan menambah fakta yang bermanfaat untuk semua.
Sumber rujukan : FIQH MANHAJI
Hasil nukilan
Amnah Mohamed
01/09/2020
1.00pagi.
*copy paste ilmu*
No comments:
Post a Comment
Any comment? Please....