Wednesday, 1 May 2019

TANGGUNGJAWAB SUAMI

Abang Ada Tak Duit Seringgit? Sayang Nak Bersihkan Rezeki Abang, Nak Selamatkan Abang Dari Murka Allah’


Seusai mengemas semua barang yang akan dibawa pulang ke Negeri Kenyalang, tiba-tiba aku didampingi oleh isteri tercinta. Senyum-senyum malu dengan menampakkan wajahnya yang sedikit gelisah. Aku hanya perhatikan gerak-gerinya dan bersedia mendengar apa jua tutur katanya.
“Abang, ada tak duit seringgit (RM1)?” soalnya.
“Ada. Nak buat apa sayang?” aku lihatnya makin kelu, tampak berkaca di ruangan kelopak matanya, tergagap-gagap apabila suara dilontarkan.
“Abang, sayang faham abang banyak berhabis sebulan dua ini. Membeli tiket ulang alik ke kampung halaman. Lumrah anak rantau. Terkadang melupakan hal diri sendiri.
“Tapi sayang tiada punya niat lain. Sayang nak bersihkan rezeki abang. Sayang nak selamatkan abang dari murka Allah. Maafkan sayang,” ujarnya perlahan.
“Kalau abang ada seringgit (RM1), abang hadiahkan kepada sayang. Anggaplah ia sebagai nafkah pemberian abang kepada sayang,”
Allah, sesungguhnya aku terkedu. Ya Allah. Air mataku mula berlinangan. Mungkin kita suami terlupa atau memang keadaan kita yang mendesak. Ya Allah, Kau anugerahkan kepadaku seorang wanita yang mulia hatinya. DemiMu Ya Allah, aku akan berusaha untuk tidak menyakiti hatinya.
Maafkan saya di atas perkongsian ini. Nampak ringkas, hanya nafkah. Walaupun isteri kita berkerja, itu hak mereka. Hakikat yang lebih besar ialah rahmat Allah untuk kita dalam berumahtangga. Moga dengan kita berbuat baik kepada isteri, rahmat Allah akan mencurah-curah dalam hubungan kita. Aamiin.
Dalam rezeki kita, tersimpan hak orang lain, walaupun hanya seringgit.
Baca Juga : Rezeki Suami Tiba-Tiba Mengalir Deras, Wahai Isteri, Inilah 10 Perkara Yang Membuatkan Rezeki Suamimu Bertambah.
Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah. Selain menyempurnakan agama dan memburu keredaan serta pahala Allah SWT, perkahwinan juga merupakan antara pembuka jalan untuk meraih rezeki. Bukan sahaja rezeki diperoleh melalui kerja keras suami dalam mencari nafkah, perilaku seorang isteri juga terkesan agar rezeki terus mengejar suamimu selain mengalir dengan lebih mudah.
Bagi membolehkan rezeki suami dan rumah tangga anda berdua terus mengalir, pastikan isteri lakukan 10 perkara ini.
1. Bertawakal kepada Allah
Jika seseorang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan rezekinya. Walaupun isteri tidak bekerja namun jika dia sentiasa bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupkan rezekinya daripada sumber yang lain. Boleh jadi Allah mengurniakan rezeki yang banyak melalui suaminya lalu rezeki suami itu diberikan kepada isteri sebagai nafkah yang secukup buatnya.
“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (QS. Ath Thalaq: 3)
2. Mempunyai agama yang baik
Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu akan bahagia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walau bagaimanapun, aspek ketinggian agama merupakan unsur terpenting dalam menjadikan sesebuah rumah tangga lebih bahagia menuju ke syurga sekali gus menjadi sumber rezeki berharga buat suami.
3. Sentiasa taat kepada suami
Seorang isteri wajib mentaati suaminya selagi perintah suaminya tidak bertentangan dengan agama Islam. Ketaatan seorang isteri terhadap suami akan membuatkan suami lebih tenang sekali gus memberi semangat dalam melancarkan pekerjaan suami mencari nafkah halal untuk isteri dan keluarga.
“Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)
4. Melayani suami dengan baik
Menjadi kewajipan isteri menjalankan tugas dengan melayani dan mempersiapkan keperluan suami sebaik-baiknya. Ini termasuklah menjaga perasaan suami agar suami tidak terluka dengan sikap isteri. Wanita yang memiliki ciri ini tentu sahaja disayangi suami, malah mampu menjadi peneman terbaik untuk mewujudkan rumah tangga yang sakinah. Ciri positif ini akan menarik sumber yang banyak kepada suami dan rumah tangga.
5. Berhias hanya untuk suami
Wanita yang solehah akan berhias dan menampakkan perhiasannya hanya untuk suami tercinta.
“Sesungguhnya dunia itu ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Sentiasa meminta reda suami ke atasnya
Berusahalah untuk menjaga sikap dan perilaku anda agar tidak melukakan hati serta perasaan suami. Isteri seperti ini merupakan isteri yang dipermudahkan rezekinya melalui tangan suami kerana amalan dan kesetiaannya terhadap suami.
7. Sering mendoakan suami
Sentiasalah mendoakan suami agar diberi limpahan rezeki yang baik dan halal. Pastinya doa yang baik itu akan dimakbulkan Allah.
Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku kabulkan.” (QS. Ghafir: 60)
8. Suka bersedekah
Apabila seorang isteri banyak bersedekah, ini bermakna isteri telah melipatgandakan rezeki suami. Dan jika nafkah isteri yang diberikan suami itu digunakan untuk bersedekah, kebaikan itu akan dibalas dengan kelancaran pekerjaan suami yang membawa kepada rezeki yang melimpah ruah.
“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah serupa dengan sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.” (QS. Al-Baqarah: 261)
9. Jalin silaturahim yang baik
Seorang isteri yang menyatukan hubungan silaturahim yang baik dengan kedua orang tua, mertua, keluarga dan saudara mara, pada hakikatnya sedang membantu suaminya melancarkan rezeki. Ini kerana keutamaan silaturahim ialah dilapangkan rezeki dan dipanjangkan usia.
“Siapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
10. Sentiasa bersyukur
Sentiasalah bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan kerana ia mampu mengundang nikmat tambahan untuk suami termasuklah sumber rezeki.
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan: jika kalian bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim: 7)

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...