Sunday, 31 March 2013

"Pergi Tak Kembali"


THURSDAY, AUGUST 13, 2009

Diari 98 - Allayarham Ustaz Asri Rabbani - "Pergi Tak Kembali"

11.34 pagi 13 Ogos 09, telifon saya berbunyi, saya memandang kepada telifon saya.

Hussian dari Layar Consult

“Assalamualaikum syeikh, apa cerita?” Kata saya

“Waalaikumusalam, ustaz dah dengar berita ke belum?” tanya Hussain.

“Berita apa?” Tanya saya kembali.

“Ustaz Asri Rabbani meninggal” kata Hussain lagi.

“Innalillah wa Inna Ilaihi Rajiun” spontan kalimah ini keluar dari mulut saya walaupun seakan-akan belum percaya dengan berita yang saya dengar ini.

“Sekarang jenazah ada di Hospital Pantai di Bangsar” kata Hussain lagi.

Setelah menyiapkan beberapa urusan, saya terus mengambil kereta dan terus ke Bangsar. Saya sampai ke Hospital jam 12.25, terus turun. Samsul, anak buah saya terus mencari parking.

Ramai orang berkumpul. Saya bersalaman dengan mereka yang sedang berkumpul di tempat berhampiran bahagian kecemasan ini.

Tiba-tiba, Rosli staf dari Layar Consult menghampiri saya.

“Ustaz, mari kita turun ke bilik mayat, pihak hospital dah nak turukan jenazah ustaz ke situ" katanya.

Saya pun berjalan bersama beberapa orang yang lain. Saya sampai ke bilik menunggu jenazah. Jam di tangan menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Di bilik ini belum ramai orang. Tak ramai yang tahu jenazah akan dibawa ke sini. Masih ramai yang di atas.

Saya menjengah di satu sudut.

“Muslim Preparation Room No. 1” papan tanda bilik jenazah di Hospital Pantai ini.

12.36, jenazah di usung turun ke tempat ini. Tiba-tiba, kawasan ini dibanjiri manusia. Bersesak-sesak orang, ada wartawan, ahli kumpulan Rabbani dan sebagainya.

“Ok, masuk dua-dua ye” kata pengurus bahagian jenazah.

Kumpulan pertama terdiri dari dua orang masuk. Di dalam telah terdapat beberapa ahli kumpulan Rabbani sedang membacakan surah Yasin. Pintu tertutup dan dikunci dari dalam.

Tak lama selepas itu, pintu dibuka, saya mahu masuk, tiba-tiba seorang Dato’ meminta laluan. Saya memberinya laluan.

““Polis dah ada, tengah tunggu keluarga datang untuk menuntut jenazah” kata beberapa pegawai hospital, menjawab soalan pengunjung yang ada pada ketika itu.

Tak lama selepas itu, dua orang keluar.

“Ok dua orang lagi”, kata penjaga bilik mayat.

Saya terus masuk. Di dalam bilik terdapat tujuh orang.

Surah Yasin yang dibaca telah hampir sampai ke penghujung.

Saya melihat sesosok tubuh yang baring telah siap dikafankan. Kain putih yang bersih dengan tangan yang diletakakan dibadan.

Saya menatap wajah sahabat saya ini. Wajahnya bersih, tersenyum. Saya membacakan fatihah kepadanya. Perlahan-lahan saya menghampiri jenazahnya, saya cium dahinya yang bersih ini. Biasanya dahi ini akan ditemankan dengan kopiah beliau.

Saya menghampiri telinga beliau, saya bisikan.

“aku saksikan, bahawa engkau telah banyak berjuang untuk agama”

Tiba-tiba saya menjadi sebak. Pada ketika itu air mata saya berlinang. Saya 
cuba menahannya tetapi saya tidak mampu. Saya menundukkan kepala saya, mengesat air mata yang mengalir di kelopak.

Saya cium dahinya untuk kali kedua. Kali ini saya pegang bahu beliau, saya ucapakan lagi padanya:-

“sahabat, selamat berehat”

Saya bangun. Berdiri tegak, selepas saya, barulah ada beberapa lagi yang datang dan mencium dahinya.

Saya 
cuba menahan air mata saya. Tetapi saya tidak mampu. Teringat lirik nasyid beliau “Pergi takkan kembali”

Saya menarik nafas panjang. Mengesat air mata yang berlenang. Membacakan fatihah sekali lagi untuknya.

Saya mula melangkah keluar. Di pintu daun pintu, saya terdengar satu ucapan:-

“Terima kasih ustaz”, saya tidak memandang siapa yang mengucapkan pada saya itu. Saya terus berjalan, merentasi kesesakan orang ramai.

Hari ini, Negara kehilangan seorang pejuang di dalam seni suara.

“InsyaAllah, semoga nanti kita dikumpulkan di syurga bersama kekasih kita junjungan besar Nabi SAW” bisik hati saya.
Saya meninggalkan Hospital Pantai. Melihat tempat berakhirnya seorang pejuang seni Islam.

Takziah untuk seluruh ahli keluarga dan kumpulan Rabbani. Tabahlah. Yang tinggal akan meneruskan perjuangan ini.

Al-Fatihah untuk al-Ustaz Asri bin Ibrahim

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
13 Ogos 09, jam 3.18 petang.
Bilik Jenazah Muslim
Tiba-tiba kawasa ini dipenuhi dengan manusia. Untuk menziarahi jenazah Allahyarham Ustaz Asri
Di kawasan luar hospital
Hospital Pantai, tempat akhir pejuang ini. al-fatihah....



No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...