Thursday, 26 May 2011

DIALOG MENARIK......

diambil dari weblog Ustaz Hasrizal di sini

Saya selalu terkenang dialog saya ketika bertemu dengan seorang anak gadis kita yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10 tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dialog saya bersamanya bermula dengan soalan yang sangat tidak dijangka. Dia mengajukan soalan kepada saya,“do you believe in wearing scarf for Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. If God doesn’t want us to show our hair, then He will create us bald. I don’t want to wear scarf.”

Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat, kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan beberapa soalan lain, yang asalnya tidak terjangkau oleh fikiran saya ia akan ditanya oleh seorang Muslim.

Seandainya saya mengambil pendekatan ‘seorang ustaz’, mungkin saya akan leterkan beliau ayat-ayat al-Quran dan Hadith berkaitan kewajipan bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya saya sahaja yang syok sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya saya ingat dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap dan menutup telinganya sambil menanti saya mengangkat punggung dan beredar.

Saya tidak punya pengalaman untuk mengendalikan keadaan seperti itu. Bekalan yang ada hanya sebuah sikap yang saya yakin penting. Tekan butang pause, bertenang, dan cuba untuk melihat apa yang tidak diperlihatkan. Persoalan sebenar berbanding persoalan yang ditanya. Apakah benar, tudung, solat dan bela anjing itu masalah sebenarnya, atau ada masalah lain yang lebih kritikal di sebalik semua itu.

“Saya tidak rasa itu patut jadi persoalan awalan kita. Mungkin elok kita bincang persoalan yang lebih perlu diselesaikan. Sesuatu yang lebih pokok,” saya memberanikan diri mencadang.

“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama ustaz?” tanya gadis tadi.

“Apa tujuan hidup awak? Apa yang awak nak capai dalam hidup ini?” saya menyoal.

“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.

“Cuba awak bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di padang bola tiada tiang gol! Atau awak main golf tetapi tidak tahu di mana lubangnya. Apa rasanya kalau awak terlibat dalam permainan seperti itu?” saya menguji.

“Silly game.. mengarut!” ujarnya sambil tersengih.

“Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?” saya menyoalnya.

Dia menggangguk.

“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita nak fokus dan membuat prioriti? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa kegagalan untuk fokus dan membuat prioriti, adalah cara mudah untuk gagal dalam hidup. Awak setuju?” saya meneruskan perbualan.

“Ya, saya boleh bersetuju.” jawabnya.

“Jadi, apa tujuan hidup awak?” saya menyoal.

“Saya nak berjaya dalam kerjaya, ada firm sendiri dan dengan pendapatan jutaan Pound setahun!” katanya dengan yakin.

“Awak belum dapat berjuta Pound setahun. Ada orang dapat berjuta Pound sehari, tak bahagia pun. Tu si Donald Trumph, kaya raya. Tetapi dia tidak bahagia, ‘diceraikan’ oleh isterinya. Saya tidak rasa berjuta Pound itu tujuan hidup awak atau sesiapa” saya mengulas sedikit. Cuba melontar provokasi.

“Hmm…,” dia mengeluh. Sepi tanpa jawapan…

“Habis, apa tujuan hidup ustaz?” gadis itu bertanya kepada saya.

“Hmm, awak rasa, saya ada ke jawapannya? Awak ada jawapannya? Saya rasa kita sama-sama tak ada jawapan sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan, andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual. Begitulah juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada Tuhan yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…” cakap saya terputus.

“Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?“, gadis tersebut memintas saya dengan soalannya.

“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″ saya menjawab.

Lantas saya mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada beliau konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya saya membuat kesimpulan berikut:

“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan Tuhan dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Tuhan dalam hidup ini. Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia. Dan jika awak setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing, samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat. Jangan salahkan Islam atas apa yang orang Melayu buat!” saya mengakhiri penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...