Copy n paste
Bacalah dan ingat sampai bila-bila.
Pergerakan komunis merupakan satu masalah dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia atau lebih dikenali sebagai Tanah Melayu sejak awal tahun 1920-an lagi. Pada ketika itu, komunis telah bergerak dalam menyebarkan kegiatan dan fahaman mereka kepada golongan belia, pekerja dan pelajar.
Pergerakan komunis menjadi lebih giat dan tersusun dengan pembentukan Parti Komunis Malaya (PKM) pada April 1930 yang bermatlamatkan penubuhan sebuah kerajaan komunis, iaitu Republik Rakyat Malaya.
Gerakan komunis mencapai kemuncak pada Jun 1948 berikutan PKM memulakan kegiatan keganasan dan kekerasan di negeri-negeri Melayu bagi merealisasikan perjuangan mereka. Kekacauan yang ditimbulkan oleh PKM itu menyebabkan Tanah Melayu memasuki zaman darurat di bawah Undang-undang Darurat yang diisytiharkan pada 16 Jun 1948.
Bagaimanapun, dengan adanya pelbagai usaha kerajaan dan kerjasama daripada orang ramai, gerakan komunis dapat dilemahkan sehingga akhirnya mereka tidak mampu melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap orang awam, pasukan keselamatan dan pihak pentadbiran.
Berikutnya, zaman darurat di Tanah Melayu diisytiharkan berakhir oleh pihak kerajaan Perikatan pada 31 Julai 1960. Selaras itu juga berakhirlah. tahap pertama pergerakan bersenjata PKM di Tanah Melayu.
Setelah itu, saki-baki anggota PKM mengundurkan diri ke Selatan Thailand buat sementara waktu. Disitulah mereka menyusun dan mengukuhkan semula kekuatan pasukan tentera, memulihkan semangat juang anggota serta membuat perancangan pergerakan dengan lebih teliti, sambil menunggu masa yang sesuai untuk kembali semula ke Malaysia dengan perjuangan yang sama, iaitu menubuhkan sebuah negara komunis.
Akhirnya, pada Jun 1968, PKM memulakan semula pergerakan bersenjatanya di Semenanjung Malaysia buat kali kedua. Peristiwa ini dikenali oleh para sejarawan sebagai kebangkitan atau kemunculan semula PKM setelah mereka gagal dalam gerakan bersenjata pertama (1948-1960). Pergerakan bersenjata PKM ini berakhir pada 2 Disember 1989 apabila komunis bersetuju berdamai dengan pihak kerajaan.
Sepanjang pergerakan PKM di Malaysia (1920-1989) ini, pelbagai strategi telah dirancang dan dijalankan oleh mereka untuk mempengaruhi dan memenangi rakyat serta menumpaskan pentadbiran British supaya tercapai matlamat perjuangan mereka.
Apakah Misi Perjuangan Komunis ini telah berakhir?
Mari kita lihat Bagaimana Komunis menghidupkan Ideologi mereka.
Usaha komunis untuk menyebarkan ideologi mereka dalam kalangan penduduk di Tanah Melayu telah bermula pada awal tahun 1920-an. Pada ketika itu, pergerakan komunis dipengaruhi oleh komunis dari China dan Indonesia. Strategi Barisan Bersatu sebagaimana yang digunakan oleh Parti Komunis China (PKC) dengan Kuomintang di China telah digunakan oleh komunis dalam menyebarkan ideologi mereka kepada penduduk.
Dalam hal ini, komunis telah menggunakan cawangan-cawangan Kuomintang (KMT) di negeri-negeri Melayu yang beribu pejabat di China. Menjelang tahun 1924, cawangan dan ranting KMT telah ditubuhkan di kebanyakan negeri-negeri Melayu dan digunakan oleh komunis sebagai pelapis bagi menyebarkan pengaruh mereka.
Antaranya, cawangan KMT telah dibentuk di Seremban, Melaka, Muar, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Klang, Sungai Petani, Singapura, Ipoh, Menglembu, Lahat, Pusing, Tronoh, Port Swettenham (Pelabuhan Klang), Sitiawan, Kampung Koh dan Pudu.
Manakala ranting-ranting KMT pula terdapat di Rantau, Kuala Pilah, Asahan, Jasin, Bemban, Panchor, Serom, Kwan Loan, Tangkak, Ulu Tiram, Selama, Kroh, Klian Intan, Tongkah, Pulau Langkawi, Ranting 1-5 di Kuala Lumpur, Ranting 1-12 di Klang, Bedong, Baling, Sungai Lalang dan Ranting 1-5 di Singapura
Selain itu, komunis turut menggunakan kesatuan-kesatuan sekerja, akhbar dan sekolah-sekolah dalam pergerakannya. Antara pertubuhan buruh berunsur komunis di Negeri Sembilan pada tahun 1926 termasuklah Persatuan Pekerja Aik Min Port Dickson, Persatuan Pekerja Aik Khwan Kuala Pilah, Persatuan Pekerja Getah Negeri Sembilan, Persatuan Pekerja Kedai Negeri Sembilan, Persatuan Pekerja Aik Chi Sepang, Persatuan Orang Gaji Negeri Sembilan, Persatuan Pekerja Getah Tanah Merah, Persatuan Pekerja Getah Pengkalan Kempas, Persatuan Pekerja Yan Khwan Seremban dan Persatuan Pekerja Aik Shin Rantau.
Persatuan-persatuan tersebut telah digabungkan menjadi Persatuan Am Nanyang (Nanyang General Labour Association) atau juga dikenali sebagai Persatuan Perwakilan yang merupakan cawangan kepada General Labour Association of China. Manakala, pada 30 Mei 1927, tiga orang Cina telah ditahan di Melaka atas tuduhan mengendalikan pertubuhan yang diharamkan, iaitu The New Students’ Society.
Salah seorang daripadanya didapati berhubung rapat dengan pertubuhan buruh di Melaka, Muar dan Batu Pahat.4 Selain itu, terbitan seperti akhbar juga digunakan sebagai media oleh komunis untuk menyebarkan ideologi, propaganda dan kegiatan kepada orang awam. Antara contoh akhbar yang berunsur komunis termasuklah akhbar Red Star Weekly, Red Star Supplement, Charcoal, Struggle, Youths’ War Front Weekly, Red Flag dan The Economic Policy of New China5 serta akhbar yang menjadi organ KMT, iaitu Yik Khwan Yat Po (Kuala Lumpur) dan Thin Sing Yat Po (Klang).
Manakala, terbitan berkala yang berunsurkan komunis seperti The Guide Weekly, Chinese Youth dan Chinese Seamen’s Union yang kemudian telah dirampas oleh kerajaan pada Disember 1926.
Sementara itu, sekolah Cina juga menjadi pusat gerakan penting komunis dalam menyebarkan pengaruhnya. Ini kerana kebanyakan guru sekolah dibawa dari China dan terpengaruh dengan perkembangan politik kiri di China.
Pihak Komunis mendapati bahawa pelajar dan guru sekolah Cina selalunya adalah simpatisan komunis, maka mereka dapat dipengaruhi dengan ideologi dan perjuangan komunis dengan mudah. Dari sinilah pelajar-pelajar ditanam dengan semangat dan diberi gambaran perjuangan untuk membela nasib rakyat yang tertindas dan miskin. Sekolah malam yang dipengaruhi oleh unsur komunis telah wujud di Kuala Lumpur sejak tahun 1920- an, dimana dilaporkan terdapat 16 sekolah yang menjadi markas ejen komunis.
Pada Oktober 1926, pihak berkuasa telah menjumpai surat yang dialamatkan kepada seorang guru bangsa Cina Hailam yang meminta pandangan dan simpati beliau terhadap komunis dan aktivitinya di Tanah Melayu. Bersama-sama surat itu turut disertakan borang soal selidik bertajuk “Overseas Investigation Form” yang meminta maklumat tentang kawasan tumpuan petempatan orang Cina, bilangan peniaga dan pekerja Cina, pandangan politik berkaitan komunis, maklumat tentang akhbar Cina serta keadaan hidup orang Cina di seberang laut.
Manakala, pada tahun 1927, pihak berkuasa telah berjaya merampas kertas, buku harian dan surat-surat daripada seorang guru di Sekolah Malam Phing Man, Kuala Lumpur yang menunjukkan beliau mempunyai rancangan untuk mempengaruhi pelajarnya dengan ideologi komunis.
Perkembangan komunis di Tanah Melayu amat dipengaruhi oleh perkembangan di China berbanding dengan pengaruh dari Indonesia. Disebabkan itu, tidak dapat dinafikan dalam pergerakan komunis, lebih 80 peratus daripada anggota, penyokong dan orang yang bersimpati dengan perjuangannya adalah orang Cina.
Perkembangan di China turut mempengaruhi perkembangan komunis di Tanah Melayu. Apabila KMT mencapai kerjasama dengan PKC di China pada tahun 1924 dan membentuk Barisan Bersatu KMT-PKC, komunis di Tanah Melayu juga bekerjasama dengan KMT.
Namun demikian, setelah Dr Sun Yat-Sen meninggal dunia pada Mac 1925, keretakan berlaku dalam Barisan Bersatu KMT-PKC sehingga pakatan itu berpecah pada tahun 1927. Dengan itu, pihak komunis di Tanah Melayu tidak dapat lagi menggunakan cawangan-cawangan KMT dalam penyebaran fahaman mereka.
Oleh yang demikian, Comintern telah mengatur langkah lain untuk pergerakan komunis di negeri-negeri Melayu. Perkembangan ini telah membawa kepada penubuhan Parti Komunis Nanyang (PKN) pada Januari 1928.
Namun begitu, PKN tidak berjaya dalam menyusun dan melebarkan kegiatan komunis, maka pihak Comintern akhirnya mengarahkan penubuhan sebuah pertubuhan komunis yang baru.
Pada 30 April 1930, Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan dengan matlamat untuk mendirikan sebuah negara komunis (Republik Komunis Malaya) selaras dengan objektif komunis sedunia.
Pada 3 Mac 1946 merupakan detik hitam bagi orang Melayu dan kini menjadi penyesalan yang tak sudah bagi sebahagian besar warga Melayu di Sumatera Timur.
Dalam satu malam sahaja, beberapa orang Sultan di beberapa negeri telah dibunuh dengan kejam oleh puak pro-komunis yang dibantu oleh kuli-kuli ladang dari keturunan Cina. Bukan saja dibunuh dengan kejam, anak-anak perempuan Sultan Diperkosa didepan Sultan dan ahli keluarga mereka sendiri.
Ia juga merupakan penyebab orang Melayu Semenanjung menolak untuk menyertai gagasan Indonesia.
Jika diceritakan siri kekejaman Komunis terhadap Orang Melayu memang terlalu banyak dan sangat memedihkan. Namun tidak kurang banyaknya juga Orang Cina yang menjadi mangsa kekejaman Komunis.
Pada 12 Julai 1973 kira-kira jam 9 malam, enam pengganas komunis telah merempuh masuk ke dalam rumah seorang pegawai polis bernama ASP Chin Chin Kooi di Serdang, Kedah.
Kesemua mereka melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Chin Kooi hingga menyebabkan beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di depan keluarganya sendiri.
Chin Kooi bersalah di mata komunis kerana pegawai polis itu amat aktif menyiasat dan membongkar kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) khususnya dalam ‘Gerakan Sedar’ di negeri itu.
Kegigihan dan kesungguhan Chin Kooi yang berjaya memusnahkan beberapa tempat persembunyian anggota PKM di kawasan Serdang dan Hutan Relau telah menyebabkan kumpulan itu nekad untuk mengakhiri riwayatnya.
Tiga bulan selepas itu, Detektif Sarjan Chong Kek Oh pula ditembak oleh anggota-anggota PKM di Sungai, Siput, Perak. Tahun yang sama juga menyaksikan mereka menembak mati Timbalan Penguasa Polis, Wong Lin Hoon di Kuala Lumpur.
Pada 3 Januari 1974, PKM bertindak membunuh Detektif Konstabel Lee See Kaw di Malim Nawar, Perak diikuti pembunuhan terhadap Detektif Sarjan Lee Yoon Chin pada 20 April 1974 di Melaka. Empat hari kemudian, Detektif Konstabel Ong Soon Chua mati ditembak di Chemor, Perak.
Pada 13 November 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pula telah dibunuh di Ipoh semasa berada di dalam kereta. Kejadian tersebut turut meragut nyawa pemandunya Sarjan Yeung Peng Cheong.
Ini hanyalah secebis kisah bagaimana pegawai dan anggota polis berketurunan Cina yang mati dibunuh oleh PKM, itu belum dicampur daripada pasukan tentera.
Ternyata Komunis Bukan sahaja Musuh Kaum Melayu, malah ia juga adalah Musuh bagi mereka yang tidak mahu bekerjasama dengan pihak Komunis.
Kaum Cina diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM seperti guru, profesional dan ahli perniagaan.
Kita jangan terleka kerana senjata utama komunis ketika ini bukan terletak pada senjata, tetapi pada pemikiran dan dakyah-dakyah yang disampaikan secara ‘halus’ apatah lagi dalam era segalanya di hujung jari ini.
Dalam usaha untuk mengembangkan pengaruh komunis, memecahbelahkan perpaduan yang kita ada juga merupakan ramuan dan resipi mereka. Tiada yang lebih menggembirakan PKM selain melihat kita sesama kaum dinegara ini mencurigai antara satu sama lain.
PKM hanya letak senjata – tetapi tidak pada cita-cita mereka.
Warisan Johor
.
.
.
.
.
*******************************************************************************************************
Bagaimana untuk anda menyokong Warisan Johor?
Tak perlu bersengkang mata,
Tak perlu berhabis duit,
Tak perlu mengasingkan diri,
Tak perlu membanting tulang,
Terus Follow,
Terus like,
Terus komen,
Terus share,
mudahkan?
Terima Kasih😍
Warisan Perlu Dikekalkan, Budaya Perlu Disuburkan
Johor Kaya Dengan Nilai Sejarah Bangsa Johor
#BangsaJohor #Johor #JDT #WarisanJohor
Rujukan
Prof Datuk Dr Ramlah Adam
Pakar sejarah
Malaysia Today
Nov 2019
Berita Harian
Ogos 2019
Dr Ho Hui Ling
Pembanterasan Komunis di Tanah Melayu. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya. hlm. 2-3
Monthly Review of Chinese Affairs,
August 1934, CO 273/597/33046.
The Malayan Bulletin of Political Intelligence,
September 1926, CO 273/534/C.22086;
The Malayan Bulletin of Political Intelligence, December 1926, CO 273/535/28030.
Ruth T. McVey, 1965. The Rise of Indonesian Communism. Ithaca:
Cornell University Press. hlm. 129
Mahmud Embong, 1992.
Komunisme dan Orang Melayu, 1924-1949. Dalam: Kobkua Suwannathat-Pian, Rohany Nasir, Mohammad Agus Yusoff (ed). Dua Dekad Penyelidikan: Sejarah-Bahasa dan Kebudayaan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm. 22;
Ho Hui Ling, 2004. Darurat 1948-1960: Keadaan Sosial di Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. hlm. 4.