Sunday 26 June 2011

BERSIHKAN DIRI SUCIKAN HATI TEGUHKAN IMAN

 Salam sahabat semua. Telah agak lama saya tidak bersiaran kerana agak 
sibuk dengan rutin harian.  InsyaAllah kali ini entry yang perolehi dari 
ISLAM ITU INDAH akan mengisi slot info agama.  Semoga kita mendapat 
berkat dari info ini, InsyaAllah.
HATI adalah tempat utama serta faktor penentu amalan seseorang itu 
diterima atau ditolak Allah.  Anggota lain hanyalah sebagai penterjemah
kepada apa diucapkan oleh hati hingga ada ungkapan menyebut, ‘hati 
adalah raja dan anggota lain sebagai tentera’.
Daripada Anas, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tidak akan teguh iman
seseorang sehingga hatinya berada dalam keadaan tetap dan teguh.” 
(Hadis riwayat Ahmad)
Maksud tetap dan teguh adalah akidah tauhid, kecintaan kepada Allah, 
mengagungkan serta ketaatan kepada-Nya.
Amalan yang baik dan berkualiti lahir daripada hati yang ikhlas dengan 
mengharap balasan pahala selain berasa takut serta gerun dengan balasan 
azab. Ketakutan itu antara cabang iman dan seseorang akan menjadi syirik
 jika sifat takut diletakkan kepada selain daripada Allah.
Ada beberapa sifat takut antaranya takut yang biasa ada pada semua 
orang beriman, rasa gementar di hati terhadap balasan dan kekuasaan 
Allah, takut dengan menjauhi dari melakukan perkara terlarang dan 
ketakutan yang diiringi kebesaran serta keagungan Allah,”
Sifat takut dianjurkan ialah takut kepada Allah bukan syaitan yang suka
menakutkan manusia atau manusia yang suka menakutkan manusia lain.
Allah berjanji kepada mereka yang mempunyai sifat takut kepada-Nya
dengan ganjaran yang besar dalam firman bermaksud: “Bagi sesiapa
yang takut pada Tuhannya akan mendapat dua syurga. Maka nikmat
Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? Iaitu syurga yang mengalir
padanya dua mata air yang memancar.” (Surah Ar-Rahman, ayat 47-49)
Mereka juga dijanjikan dengan keselamatan dari segala keburukan di dunia
dan mendapat banyak kebaikan serta kesudahan yang baik.
Pada masa sama katanya, umat Islam perlu sentiasa merawat hati mereka 
kerana Allah tidak melihat kepada paras rupa seseorang, tetapi hati serta
amalannya.
Ibnu Rejab berpendapat, sifat takut yang tertinggi ialah apabila sifat itu 
diiringi dengan amalan salih serta meninggalkan perkara terlarang dan 
ia akan bertambah dari semasa ke semasa seterusnya menjadikan seseorang
lebih merendah diri dengan kebesaran Allah.
Seorang ilmuwan tersohor, Abu Sulaiman menyebut: “Tidak akan terpisah
antara sifat takut daripada manusia melainkan mereka akan binasa.”
Sementara itu, harapan adalah antara jalan terbaik menuju Allah dan lebih
sempurna bergandingan dengan sifat takut.
Apabila kedua-dua sifat ini berada dalam diri manusia, mereka akan menjadi
peka dan khusyuk terhadap kebesaran serta azab Allah.
Sabda Rasululullah SAW bermaksud: “Jika seorang mukmin mengetahui 
akan kehebatan azab Allah nescaya mereka tidak akan mengendahkan
syurganya dan jika seorang yang kafir mengetahui betapa besarnya nikmat
Allah, mereka tidak akan berputus asa untuk mendapatkannya.” (Hadis 
riwayat Muslim) “Perjalanan hati dalam menuju kepada Allah adalah 
seumpama seekor burung yang sedang terbang di mana sifat kasih 
(mahabbah) adalah kepalanya. Takut dan berharap adalah kepaknya.
Maka tatkala mana terdapat kombinasi yang baik antara kepala dan sayap,
kedudukan burung itu adalah stabil dan mantap.Jika terputus kepalanya
maka matilah ia dan jika hilang sayapnya, maka burung akan terdedah
kepada bahaya pemburu.”
Kesimpulannya, takut daripada azab dan berharap ganjaran pahala
daripada-Nya adalah perkara yang perlu ada pada diri setiap individu 
Muslim. Ia harus kekal dalam jiwa mereka demi kestabilan jiwa dan 
pembersihan hati ketika disapa kesenangan dunia yang melalaikan.

1 comment:

  1. Assalamualaikum..kak laily wahab..sebelum ni zu kenal melalui laman sesawang FACEBOOK..kali ni pulak dekat blog..tengah mncari maklumat asgmnt tiba tergerak hati nak buka bloh PERJALANAN ni..:)

    ReplyDelete

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...