Tuesday 27 October 2015

⭐️AKU SEORANG GURU⭐️



[ Jawapan Kepada 'Tahap Pendidikan Guru' ]

Saya tidak tahu hujung pangkal, tetapi tiba-tiba kisah tahap pendidikan seorang guru menjadi viral.
Oh, saya teringat pernah mengadaptasi sebuah kisah yang ditulis dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Mungkin kisah ini relevan untuk dibaca semula.
>>>

Dalam satu majlis graduasi pelajar-pelajar sekolah, seorang pengetua berucap dengan berkobar-kobar sambil jari telunjuk dijulang ke udara.

“Seorang doktor, mahu anaknya juga menjadi seorang doktor. Seorang jurutera, mahu anaknya juga menjadi seorang jurutera. Seorang ahli perniagaan, mahu anaknya bekerja di syarikatnya menjadi seorang CEO.TETAPI, seorang cikgu?Seorang cikgu juga mahu anaknya menjadi seperti mereka semua. Tiada seorang pun yang mahu MEMILIH untuk menjadi CIKGU, sangat menyedihkan,  tetapi itulah hakikatnya."

Di satu sudut dewan, di meja makan, para tetamu mula kecoh bercerita tentang kejayaan dalam kehidupan.
Seorang CEO membuka mulut berbincang tentang masalah yang berlaku dalam bidang pendidikan.

Dia membuka bicara,

 “Apa yang seorang kanak-kanak boleh belajar daripada seorang insan yang pencapaian TERBAIK dalam hidupnya hanya mampu menjadi seorang CIKGU?”

Dia berpaling kepada seorang cikgu yang duduk semeja, “Haa, awak seorang cikgu kan Rina? Terus terang, apa yang awak buat di sekolah sebenarnya?”

Cikgu Rina yang terkenal dengan jujur dan lemah lembut tersenyum, “Tuan betul-betul ingin tahu apa yang saya buat?”

(Dia menarik nafas sedalamnya lalu menyambung…)

“Begini, saya membuat kanak-kanak bekerja lebih rajin daripada apa yang mereka percaya.

Saya membuat pelajar yang mendapat gred C+ seperti mendapat No.1 seluruh  sekolah atas peningkatan prestasi mereka.

Saya membuat pelajar yang mendapat A- terasa langsung tidak bermakna kerana membazirkan masa saya dengan membuat sambil lewa daripada yang terbaik mampu mereka lakukan.

Saya membuat kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian selama 40 minit di dalam kelas semasa saya mengajar. Sedangkan ibu bapa mereka sendiri tak mampu untuk buat mereka duduk walau 5 minit. Saya lakukan tanpa Ipod, Iphone, Ipad, Game, atau menonton TV. 
Saya membuat ibu bapa terkejut dan terharu apabila saya menghantar pesanan ringkas whatsapp untuk memberitahu apa yang anak mereka telah lakukan di sekolah. Saya ceritakan bagaimana anak mereka telah berkongsi makanan dengan rakan yang tidak ada wang belanja ke sekolah. Itu adalah tindakan mulia paling sukar untuk saya lihat sekarang.

Saya membuat ibu bapa 'sedar' siapa sebenarnya anak mereka dan apa yang anak mereka mampu lakukan.
Tuan nak tahu apa lagi saya buat?"

(Dia berhenti seketika dan memandang mata setiap orang yang berada di meja tersebut)

“Saya buat anak-anak merasa hebat."
“Saya buat mereka selalu bertanya soalan."
“Saya buat mereka yakin menjawab pertanyaan."
“Saya buat mereka meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan dan benar-benar memaksudkannya."
“Saya buat mereka menghormati orang lain dan bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka."
“Saya buat mereka membaca, membaca, dan membaca."
“Saya ajar mereka bagaimana nak menulis dan buat mereka menulis dan menulis sehingga mereka tidak akan salah mengeja lagi."
“Saya buat mereka tunjukkan semua kerja rumah matematik mereka. Saya buat mereka gunakan akal yang Allah berikan, bukan kalkulator yang dicipta oleh manusia."
“Saya buat bilik darjah saya sebagai tempat yang paling selamat untuk semua pelajar saya."
“Akhirnya, saya buat mereka benar-benar faham sekiranya mereka menggunakan akal dan bakat yang dikurniakan Allah kepada mereka, bekerja keras, dan mengikut kata hati mereka yang benar, mereka akan berjaya dalam hidup."

(Cikgu Rina berhenti meneguk air dan menyambung)

“Saya yakin dan percaya bahawa duit bukanlah segala-galanya, walaupun semua orang di sekeliling cuba mempertikaikan apa yang saya lakukan.

Saya masih boleh mengangkat muka tegak memandang ke hadapan dan jalan terus tanpa menghiraukan semuanya kerana mereka tidak mengetahui apa yang saya telah buat untuk 'anak-anak' SAYA."

"Tuan nak tahu kenapa saya yakin dengan apa yang saya buat?"


(memandang tepat wajah tuan CEO tanpa berkelip)

“Saya menyentuh dan memberi kelainan dalam kehidupan mereka. Saya mengubah mereka untuk percaya diri  dan menjadi yang terbaik mampu mereka lakukan. Mendidik dan menyediakan mereka untuk menjadi seorang Doktor, Jurutera, dan CEO."

“Sekarang, apa pula yang Tuan CEO buat pada mereka?”

Tuan CEO memandang kosong wajah cikgu Rina.
___________
~Diterjemah secara bebas dari puisi Taylor Mali dan diubahsuai dengan sepenuh penghayatan~
#drMAK
- See more at: http://www.sistemguruonline.my/2015/10/aku-seorang-guru-sentiasa-dipersoal.html?m=1#sthash.MciLKSuv.dpuf

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...