Wednesday 31 December 2014

INI BUKAN URUSAN AKU…

INI BUKAN URUSAN AKU…
Senario A
Aku tak kisah apa nak jadi pada negara ni. Yang penting aku dan keluarga aku boleh hidup selesa. Aku tak nak menyusahkan orang lain dan tak nak menyebabkan orang lain susah disebabkan aku.
Senario B
Lantak lah dengan apa yang berlaku di kampus ni. Yang penting biasiswa aku masuk ‘on-time’, aku siap semua assignment dan lulus semua peperiksaan yang melibatkan ijazah yang aku cita-citakan selama ini.
Apa kau susah, mereka bukan anak kau. Biarkan sajalah kalau budak-budak ni nak ber’couple’ atau berkawan sesama mereka. Lagi pun mereka dah besar. Kalau pun bunting nanti, pandai-pandailah mereka pergi ke mana-mana klinik untuk gugurkan kandungan atau cari tempat bersalin nanti.
Senario D
Isu Palestin biar orang Palestin selesaikan dengan Israel, isu Syria biar mereka orang Syria urus dengan pemerintah mereka sendiri, isu Pattani biar mereka bincang dengan kerajaan Thailand, kerajaan mereka sendiri. Kita tak perlu sibuk urusan orang lain sebab kita kena jaga anak bini kita dulu.
Sikap Peduli
Sikap peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak-balas terhadap pelbagai hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli, ambil berat atau ‘caring’ adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
Mengambil peduli atau mengetahui masalah secara positif akan menggalakkan seseorang dan masyarakat menjadi prihatin terhadap keperluan ahli komuniti mereka dengan berusaha bantu membantu menyelesaikan atau mengurangkan bebanan mereka.
Rasa peduli ini tentunya dalam batas pengamatan yang mendalam dan keinsafan yang tinggi bahawa setiap kita memerlukan sokongan, bantuan dan perhatian apabila berada di dalam situasi tertentu. Sekiranya sebahagian daripada kita mengalami kesusahan, keperitan dan bencana, tentunya kita memerlukan bantuan atau pertolongan daripada orang lain.
Sekiranya rasa ambil peduli ini subur pada setiap masyarakat kita, ia akan memupuk rasa persaudaraan sesama Islam dan bersifat kemanusiaan sesama mausia tanpa mengira asal keturunan, agama dan bangsa.
Malangnya apa yang berlaku pada masyarakat kita hari ini adalah kerana masing-masing bersikap tidak ambil peduli dengan masalah dan isu-isu yang berlaku di persekitarannya. Contohnya ialah permasalahan kehamilan di kalangan remaja, peningkatan kes jenayah, kes murtad, kes dadah dan rogol yang semakin banyak, amalan rasuah yang subur membiak, kecelaruan identiti di kalangan anak bangsa dan seribu satu macam masalah yang lain.
Jika sikap tak kisah dan tidak ambil peduli terus diamalkan oleh masyarakat kita, bayangkanlah apa yang bakal berlaku terhadap institusi kekeluargaan, budaya kemasyarakatan, kehidupan bernegara dan masa depan umat secara keseluruhannya.
Sikap ambil peduli adalah sikap yang sangat penting untuk disuburkan dan diamalkan di setiap lapisan masyarakat. Seseorang yang sudah dibiasakan dengan sikap ambil peduli atau ‘caring’ akan mencetuskan pembinaan masyarakat yang berkasih-sayang dan tolong menolong ke arah kebaikan bersama. Ingatlah pesanan Allah swt seperti firmanNya yang bermaksud,
“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”.
Surah al-Maidah ayat 2
Inilah yang menjadikan indahnya kehidupan dan semua ini hanya akan berlaku jika ada sikap saling ambil peduli dan prihatin di kalangan kita. Dalam Islam, perkara-perkara ini memang ditekankan kerana Islam itu sendiri adalah ajaran kemasyarakatan. Islam menekankan perlunya sikap ambil peduli bermula dari sesama ahli keluarga, kaum kerabat, semangat kejiranan dan hidup bermasyarakat, kehidupan bernegara sehinggalah kepada kepedulian umat sejagat.
Ingatlah bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama islam yang luhur ini sebagaimana sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud,
“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”
Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya.
(Hadith riwayat Bukhary)
By: Dr Zainur Rashid Zainuddin


#surah-surah pilihan#





Welcome 2015 Goodbye 2014

Assalamualaikum wrt dan Salam Tahun Baru 2015 M.  Diam tak diam sama ada secara sedar atau tidak hanya tinggal sejam lebih sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun 2015. Terlalu banyak peristiwa, kenangan dan pengalaman yang telah berlaku dan dilalui sepanjang tahun 2014 ini. Marilah kita hayati coretan ini....

2014...
Kehadiran mu dinanti penuh debaran...
Kedatangan mu disambut penuh kemeriahan...
Mengharap sinar, harapan dan senyuman...

Namun siapa sangka...
KAU menduga, KAU menguji kami penuh cabaran...

Mac 2014...
Perginya MH370 tanpa berita...
Perginya penuh tanda tanya...
Perginya tanpa meninggalkan secebis jejak...

Feb - Apr 2014...
Empangan kami kering...
Alam tidak sudi memberi kami air...
Catuan air sehingga berbulan-bulan lamanya...
Mengajar kami untuk tidak membazir...

Tidak cukup dengan itu...
Alam seolah-olah memarahi kami...
Jerebu menduga kami...
Seksanya hidup menyedut udara kotor...
Mungkin dari kesilapan kami sendiri...

Julai 2014
Ketika umat Islam menikmati ibadah puasa...
Dan kemeriahan Aidilfitri kian dirasa...
Hati kami bagai direntap...
Perginya MH17 tidak kembali...
Kami terduduk...
Menangisi dan meratapi perginya MH17...
Seolah-olah orang tersayang berada di sana...

Satu persatu KAU bongkarkan...
Kerana hilangnya sifat amanah si dewasa, si anak menjadi mangsa...
Kebocoran soalan UPSR...
Cukup menjatuhkan sifat mulia seorang dewasa...

Disember 2014...
Kami menangisi setiap gambar yang kami tatapi...
Air yang membawa kemusnahan...
Meruntun hati kami...
Namun kami tahu...
Ada ganjaran disebalik air kemusnahan itu...

Kini...
Saudara kami QZ8501 menghilangkan diri...
Membuat kami ternanti...
Membuat kami meratapi kembali MH370 dan MH17...

Betapa KAU sayangkan kami...
KAU hantarkan petandaMU...
KAU hantarkan petunjukMU...
KAU hantarkan ujianMU...
Supaya kami mengigatiMU...
Supaya kami tidak lupakanMU...

Mungkin selama ini telah KAU hantarkan petandaMU kepada kami...
Namun...
Tetap jua kami buta...
Buta dalam menilai cinta agungMU...

Kami alpa kepadaMU...
Kami jauh dariMU...
Kami kejam dengan bumi...
Kami abaikan saudara kami...
Kami pentingkan diri!
Kerana merasai dunia ini hak kami...

2015...
Kembalikanlah sinar, harapan dan senyuman kami...
Bawalah air mata mu 2014...
Pergilah bersama deritamu 2014...
Bersihkanlah kesan hitammu 2014...
Kami pasrah...
Kami redha...

Tuhan...
Terima kasih atas kasih sayangMU...

MH370... Kami masih menantimu...
MH17... Kami harap kamu tenang di sana...
QZ8501...Kembalilah...
Buat mangsa banjir...
Tabahkanlah dirimu... Kuatkanlah hatimu...

  • Buat semua pengajaranmu, terima kasih 2014...  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...