Monday 13 August 2012

PHD – Hasad dan dengki, budaya kita?

PHD – Hasad dan dengki, budaya kita?

Salaam Sayang buat semua pembaca!
Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Al-Ilah Ar-Rab yang memberikan seribu satu juta nikmat buat kita semua. Masalahnya kadang-kadang tu, kita ni cuma tahu melihat yang buruk, yang tidak cukup, yang tidak sempurna dan mengambil keputusan untuk “merungut” mengenai apa yang kita tidak ada berbanding seribu satu nikmat lain yang kita ‘ada’. Mari fokuskan tenaga dengan mengucap syukur tatkala melihat makanan di meja. Syukur dengan tangan, kaki, wajah yang sempurna, syukur lagi dengan pakaian yang menyaluti anggota. Syukur lagi dengan nikmat kesanggupan kita masih boleh bersujud kepada Allah. Setiap kali dahi ini mencecah tempat sujud cuba kita berhenti sejenak, mengucap syukur kerana kita masih diberi peluang menyembah Allah. Berapa ramai manusia tidak mampu lagi bersujud, kerana masalah kesihatan misalnya. Kenapa pentingnya syukur ini? Kerana Allah berjanji, orang yang bersyukur akan ditambahkan nikmat. Semua dah dengar bukan. Rasanya seribu kali diulang, kali ni saya ulang lagi, kerana salah satu cara belajar yang paling berkesan adalah melalui pengulangan atau repetition… sebenarnya untuk mengingati diri juga. Allah berfirman dalam surah Ibrahim:7)
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”

Jadi JOM bersyukur. Ucapkan “thank you Allah” dalam hati, dibawa kemudian ke bibir dengan menzahirkan syukur itu dengan ungkapan “Alhamdulillah." Terima kasih ‘sangat-sangat’ Ya Allah. Kerana apa? Kerana Allah akan menambah nikmat kita. Ya walau dilanda musibah. Bisiklah dalam hati “Terima kasih Ya Allah, kerana musibah dan kesedihan ni pasti ada hikmahnya”. “Saya pasti akan bangkit kembali lebih dekat dengan Mu atau lebih kuat lagi selepas ini”. Jika melihat kelebihan orang lain, apa kata daripada kita iri hati dan berdengki, ucapkanlah syukur dengan apa yang ada. Imam Mawlud menerangkan bahawa dengki ini terjadi apabila dalam hati kita timbul perasaan untuk melihat orang lain hilang nikmat yang mereka miliki.
Bercakap tentang perasaan dengki dan iri ini, coretan saya kali ini adalah mengenai satu penyakit hati yang menurut pakar adalah antara akar atau ibu segala penyakit. Itulah dia - Dengki. Mungkin anda pernah menjadi mangsa dengki? Ya jujur ianya amat pedih sekali. Banyak ungkapan pernah kita dengar seperti “alah orang Melayu memang macam tu, kaya dengan PHD” .PHD itu apa, ada yang bertanya? PenyakitHasad Dengki lah. Mari kita fikirkan. Benarkah ungkapan ini? Dari mana berakarnya perasaan ini? Kenapa begitu buruk persepsi kepada orang Melayu? Dan persoalan yang paling penting sekali, adakah kita termasuk golongan yang ada PHD itu? Na’uzubillah. Minta dijauhkan penyakit dan sifat buruk lagi keji ini dari dalam diri kita. Mari kita imbau sedikit sejarah dan asal usul PHD. Dari mana datangnya?
Sejarahnya adalah dari pertama kali ciptaan makhluk Al-Khaliq, Al Musawwir, Al-Baari yang menentang suruhanNya. Arahan bersujud kepada ciptaan Allah Adam a.s kepada Iblis.. Tidak ada alasan lain yang menyebabkan Iblis tidak mahu bersujud menurut perintah Allah melainkan sikap 1.sombong dan 2. Iri hati. Iri hati kerana Allah swt memilih Nabi Adam a.s sebagai khalifahnya, sedangkan Iblis itu merasakan dirinya lebih ‘mulia’ .Pernahkah kita terlintas bahawa diri ini lebih ‘baik’, mulia dan hebat dari orang lain. Berhati-hatilah pembaca sekalian, itulah sifat Iblis laknatullah. Iblis tidak langsung bertaubat dan memohon maaf diatas ‘kebiadaban dan keterlanjuran’ ini.
Sikap mereka yang dengki dan iri antara lain adalah TIDAK MAHU MENGAKU MEREKA BERSALAH. Quran menyuruh kita supaya berlindung dengan Allah dari hasad. 113:5 “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki” Kerana bila sudah dengki, macam-macam boleh terjadi.
Kita biasanya ‘cemburu’ atau iri hati dengan mereka yang mempunyai nikmat yang lebih dari kita. Semua dari kita tidak terkecuali untuk pada satu-satu ketika mengalami perasaan ini. Cuma perlu kita ingat, walaupun kita merasakan bahawa mereka yang sering menjadi mangsa iri ini berada dalam keadaan bahaya, hakikatnya mereka yang berdengki itu sebenarnya berada dalam bahaya yang LEBIH lagi. Kerana apa? Kerana sifat dengki itu akhirnya akan memakan diri mereka sendiri.
Antara sebab lain kita sering iri hati adalah kerana kita tidak bersyukur dengan apa yang ada. Melihat ‘kesenangan’ , kekayaan, kecantikan serta kelebihan orang lain. Apabila kita mendoakan agar orang itu “hilang” akan kelebihannya maka itulah dia tanda bahawa kita sudah masuk kedalam fasa dengki. Pernah atau tidak pembaca sekalian apabila melihat seseorang yang berjaya lalu berbisik di dalam hati ,“kalaulah dia fail kali ni kan bagus” atau “tak sabar aku tengok dia gagal dan merana”. Maka berhati-hatilah itu tandanya muncul sudah titik hitam, penyakit hati yang lebih dikenali dengan DENGKI. Apabila kita merasakan, “Aku yang lebih berhak”, kita secara tidak langsung menyoal pemberian Allah kepada rakan itu. Tidakkah Allah lebih tahu siapa yang lebih berhak. Bukankan Allah Maha Mengetahui. Atau adakah kita merasakan kita lebih tahu dari Allah? Jadi usah persoalkan apa yang diberi kepada orang lain.


Apa dia cara merawat penyakit hati dengki ini pembaca sekalian? Imam Mawlud menyarankan dua cara rawatan penyakit hati dengki . Pertama, apabila kita sedar kita sudah ada iri hati dengan seseorang , contohnya apabila kita melihat kejayaannya dan ingin mencari kesalahannya, kita pakai reverse gear dan cari kebaikannya. Bila mahu atau terasa nak kutuk kita masuk reverse gear dan memujinya. Buat sesuatu untuk orang yang kita dengki itu, seperti membelinya hadiah atau membantunya. Kenapa? Supaya kita lemahkan perasaan dengki itu. Supaya kita hauskan sifat dengki itu dengan TIDAK memberinya baja dan menyemai benih kebencian. Boleh kita sama-sama lakukan? Maka selepas ini, kalau ada yang terasa nak dengki pada orang lain, jom kita pertama . 1. puji mereka dan kedua 2. Belikan mereka hadiah
Cara merawat penyakit dengki yang kedua adalah dengan mengakui bahawa perasaan iri hati ini hanya akan memakan diri sendiri. Ianya akan membahayakan BUKAN orang yang didengki tetapi diri kita sendiri. Kita jadi obsess dengan orang yang didengki dan membuang masa dan tenaga mencari-cari kesalahan orang itu. Kita hanya akan membuat diri dan emosi tidak tenteram dan “gila”. Perasaan dengki dan iri TIDAK AKAN SEKALI-KALI MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA DIRI. Maka pembaca berhati-hatilah sekiranya perasaan ini muncul tiba didalam diri kita.
Kadang-kadang perasaan ini timbul kerana kita kurang yakin kepada diri sendiri. Cara paling kotor namun mudah, untuk nampak hebat adalah dengan merendahkan atau mengutuk orang lain. Namun ada juga iri yang dibenarkan dalam Islam. Cemburu yang sebenarnya ‘baik’ untuk kita. Apa dia? Ya! Cemburu kepada dua golongan ini.
Rasul s.a.w. bersabda: Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap 2 orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya pada jalan kebaikan, dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia siang dan malam. (Sahih Muslim)
Mari kita betulkan niat, bersihkan hati dan nilai kembali perasaan cemburu, iri dan dengki dalam diri! Mari jadi Mu’min yang tenang dan bersyukur dengan apa yang ada.
Salam Sayang
WARDINA

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...