Wednesday 18 July 2012

KAYA YANG BERKAT



KAYA YANG BERKAT


“Akan diperintahkan (oleh Allah) kepada bumi: tumbuhkanlah buah-buahanmu, dan kembalikan keberkahanmu, maka pada masa itu, sekelompok orang akan merasa cukup (menjadi kenyang) dengan memakan satu buah delima, dan mereka dapat berteduh dibawah kulitnya. Dan air susu diberkahi, sampai-sampai sekali diperah seekor unta dapat mencukupi banyak orang, dan sekali diperah susu seekor sapi dapat mencukupi manusia satu kabilah, dan sekali perah, susu seekor domba dapat mencukupi satu kabilah.” (Riwayat Imam Muslim)



ULASAN  AYAT: 


1.        Melalui hadis di atas, demikianlah ketika REZEKI diberkahi Allah, sehingga rezeki yang sedikit jumlahnya, akan tetapi manfaatannya sangat banyak. Dicukupkan oleh Allah akan rezeki yang berkat.
 
2.        Mana yang lebih penting ? Kekayaan mudah dari hasil kerja yang haram atau kesenangan yang sedikit tetapi berkat ? Bila hanya berfikir mendapatkan dan mengumpulkan wang semata maka memilih kaya dengan cara apapun. Namun apabila yang digunakan adalah kehalalan, wang yang diterima bersumber pada yang benar dan diredhai oleh Allah SWT, maka pilihlah keberkatan. 


3.        Di zaman seperti sekarang ini, ada orang mengatakan ‘Mencari yang haram pun susah, apalagi mencari yang halal’ sehingga mencarinya dengan segala cara, mengejar material yang penting dapat. Oleh kerana itu rasuah, judi, rompak terus berlaku tidak kira pangkat kedudukan. Yang penting, kaya, mengabaikan yang halal dan haram seolah menjadi lumrah kerana kita mahu kelihatan kaya di sisi manusia kerana manusia menilai kejayaan seseorang dari kekayaannya bukan keimanannya. Nauzubillah.
 
4.        Namun apabila kita amati , harta yang banyak bererti kemudahan, kesenangan, menghadirkan kegembiraan yang sebenarnya memberi derita kerana didapatkan dari sumber yang haram. Demikian juga yang harta yang sedikit, susah, tidak menyenangkan ternyata akhirnya membahagiakan kerana didapati dari sumber yang halal. Sebab itu, orang sering berkata wang dari hasil yang tidak berkat tidak tahan lama, mudah habis dengan sekelip mata berbanding dengan wang dari hasil yang berkat sekalipun hanya sedikit.
 
5.        ‘Akan datang suatu zaman manusia dimana cita-cita mereka untuk kepentingan perut mereka, kemuliaan mereka dilihat dari perhiasan mereka, kiblat mereka adalah perempuan yang molek dan agama mereka adalah wang dan harta benda, mereka itulah seburuk-buruknya generasi. Dan tidak ada kebaikan disisi Allah.’ (Hadis riwayat ad-Dailami). Kekayaan tidak menjamin hidup kita bahagia, sebagaimana kemiskinan bukan jaminan hidup kita derita. 


6.        Alangkah indahnya bila kita menjadi orang kaya yang diberkati kerana kekayaan yang membawa keberkatan menghadirkan segala kebaikan, menghapus kegelisahan, menghilangkan putus asa, menambah peluang dan mengukuhkan iman dan taqwa kita kepada Allah SWT. 


7.        Mari kita sama-sama berdoa memohon kepada Allah agar berkenan melimpahkan rezeki yang halal dan membawa keberkatan kepada kita dan keluarga kita dan dijauhkan dari yang haram. ‘Ya Allah, curahkanlah keberkatan dari apa-apa yang telah Engkau berikan rezeki kepada kami dan jauhkanlah kami dari siksa api neraka.’ WALLAHU’ALAM 

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...