Thursday 1 March 2012

MINGGU YANG MEMENATKAN! Bhgn 1

    Salam sahabat semua. Setelah seminggu tidak bersiaran,hari ini saya muncul kembali dengan cerita dan berita terbaru tentang diri dan keluarga.  Alhamdulillah, segala urusan dalam seminggu yang berlalu telah dapat diselesaikan seperti yang dirancang....Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin dan rahmatNya....kini hati, perasaan dan diriku dan keluarga merasa teramat lega.
Alkisahnya begini, setelah kandunganku melewati minggu ke-36 pada dua minggu lalu, doktor Ginekologi di Poliklinik UPDK Medincentre,Moscow, Dr Julia, telah mengarahkanku untuk menandatangani kontrak untuk bersalin di  Oparina4 @ Research Centre of Institute of Obstetric, Ginakology and Perinatalogy, Oparina Akademichesky Street.  Kami pun mengatur temujanji dengan Ketua Jabatan Wad Bersalin Dr Baev O.P.  Temujanji pertama adalah pada hari Rabu 22.02.2012 jam 11.30 pagi.  Tak sabar rasanya menunggu kedatangan hari tersebut kerana bimbang dengan kandunganku yang bakal menghampiri minggu ke-37. 
    Pada hari yang dijanjikan, kami iaitu aku bersama suami, Zulaikha dan Vlada (local staf pejabat suamiku) telah hadir dilokasi yang tersebut di atas. Betapa terkejutnya aku kerana mendapati terlalu ramai wanita/ibu-ibu mengandung di situ.  Itulah kali pertama dalam sejarah hidupku selama mengandung di Moscow ini melihat seramai itu (lebih daripada 70 orang) wanita Rusia mengandung.  Mungkin kerana ini adalah Pusat Penyelidikan khas untuk wanita.ibu dan  bayi agaknya.   Lagi pula ia adalah dibawah kawalan Kementerian Kesihatan Rusia.  Jadi ramailah orang-orang tempatan yang berkunjung dan mendapatkan rawatan di situ.
    Berbalik kepada kisahku tadi, setelah berjalan agak jauh dari tempat meletak kereta ke pintu masuk haospital tersebut, dengan mengharungi salji yang menebal di atas jalan serta snowflakes yang sentiasa turun membasahi bumi Moscow ini, maka kami pun mendaftar dengan mengemukakan pasport masing-masing.  Kami telah diberi pas masuk berbentuk kad sesentuh dan terus menuju ke tingkat 2,iaitu Poliklinik untuk urusan temujanji itu.  Kami harus membuat bayaran terlebih dahulu di kaunter bayaran @ KACCA dalam bahasa Rusia.  Setelah itu kami menunggu di hadapan bilik Doktor 2021.  Setelah tiba masa giliran, hampir jam 1.00 petang barulah kami dipanggil untuk sesi temuduga dan pemeriksaan.  Pelbagai soalan ditanya  daripada bermulanya pusingan haid dalam hidup hinggalah kepada keadaan semasa waktu sekarang.  Segala maklumat yang kuberikan direkodkan oleh doktor Baev dalam komputer riba beliau.  Walaupun bahasa yang digunakan hampir sepenuhnya bahasa Rusia, namun dengan bantuan Vlada,aku dapat memahami dan menjawab setiap pertanyaan dengan baik dan memuaskan hati doktor berkenaan.  
    Setelah selesai sesi tersebut tadi, maka doktor mengarahkanku untuk berbaring bagi menjalankan pemeriksaan perut.  Beliau mengatakan bahawa kandunganku ok dan baby juga telah agak turun tetapi masih agak tinggi dari pintu.  Jadi kemungkinan masih ada 2@ 3 minggu lagi untuk waktu bersalin tiba.  Kemudian beliau mengarahkanku agar dibuat beberapa jenis pemeriksaan di hospital itu (walaupun aku telah membuat semua pemeriksaan itu di Poliklinik UPDK Medincentre sebelum ini) sebelum kontrak ditandatangani.  Pemeriksaan tersebutlah termasuklah ultrasound, CTG, beberapa jenis pemeriksaan darah, smear flora dan autoplasma.  Ini akan memakan masa beberapa hari juga untuk menyelsaikan kesemuanya.  
    Temujanji diatur untuk pemeriksaan ultrasound dan CTG pada Sabtu 25.02.2012 jam 10.00. Pada hari itu kami membawa 2 orang pelajar perubatan tahun 6 yang berkelapangan iaitu Athiyah Samsudin dan Farah Nasuha Mohd Daut sebagai peneman dan penterjemah.  Lebih kurang jam 9.45 pagi kami tiba di hospital berkenaan dan terus menuju ke kaunter yang sepatutnya.  MasyaAllah begitu ramainya yang buat temunjanji pada hari itu.  Lama juga kami menunggu dan akhirnya jam 11.15 pagi aku dipanggil untuk pemeriksaan CTG.  Aku kagum dengan kecekapan doktor/petugas yang mengendalikan pemeriksaan CTG ini.  Beliau mengendalikan 6 orang ibu mengandung dalam satu masa.  Alhamdulillah keputusan pemeriksaan CTG anakku diperolehi dalam masa lebih kurang 25 minit sahaja dan hasil  bacaan, pergerakan dan grafnya cantik sekali...Malah petugas itu telah memujiku dalam bahasa Rusia.....maladiaot @ well done!  
     Setelah itu aku berlalu menuju ke bilik doktor untuk ultrasound (UZY) pula.   Alhamdulillah  cuma menunggu 20 minit, aku pun dipanggil untuk UZY (dlm bahasa singkatan Rusia).  Walaupun bilik kecil tetapi cangggih sekali dimana terdapat 3 monitor termasuk 1 yang besar +- 32 inci) yang diletak didinding atas untuk tontonan pesakit @ ibu yang diperiksa.  Kagum aku dengan kemudahan yang disediakan.   Syukur alhamdulillah....tak sia-sia aku memilih Pusat perubatan berkenaan walaupun terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk setiap sesi pemeriksaan - sabar adalah sifat utama yang perlu dalam keadaan dan lokasi seperti ini.   Hasil pemeriksaan doktor mendapati bahawa bayiku besar, 3.516kg, bersaiz 53cm yang mana ikut sepatutnya adalah 2.986 kg dan 48cm....dengan ini doktor mengandaikan mungkin kandungan adalah 38 minggu 2 hari sedangkan mengikut kiraan adalah 37 minggu.  Walau apa dan berapa pun berat, tempoh dan saiz bayiku ini, aku sentiasa berdoa kepadaNya dan berharap agar bayiku tetap sihat, sempurna dan selamat di dalam rahimku dan juga selamat dilahirkan nanti...Suatu ANUGERAH yang tidak DIDUGA dan diberi olehNYA TANPA diminta ...Jazakallahukhairankathiraaa..Ya Allah!  Semoga dengan kehadiran dan kelahiran beliau kelak....akan menambahbaik lagi rezeki dan rumahtangga kami bersama........InsyaAllah!
http://www.blogger.chttp://www.blogger.com/video
Bersambung.......

No comments:

Post a Comment

Any comment? Please....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...